Utusan Borneo (Sabah)

Dua lelaki warga asing disyaki curi motosikal ditahan

-

MIRI: Dua lelaki warga asing ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini, malam Sabtu.

Kedua-dua suspek berjaya ditangkap dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Merdu, Taman Gilbert, di sini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi semalam mengesahka­n tangkapan dan rampasan tersebut.

“Semasa pemeriksaa­n ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di negara ini.

“Turut dijumpai satu pembuka ‘plug’ berbentuk T diubah suai pada salah seorang suspek dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita.

Jelas Lim, siasatan awal mendapati suspek mengaku menggunaka­n peralatan ditemui itu untuk mencuri motosikal.

Katanya pembuka ‘plug’ tersebut dirampas polis sebagai bahan kes.

“Suspek mengaku telah mencuri tiga motosikal jenis Honda di beberapa kawasan sekitar bandar raya Miri.

“Motosikal yang dicuri ini dihantar ke simpang Bakong dan dijual,” katanya.

Menurut Lim, kedua-dua suspek turut terlibat dalam kegiatan penyalahgu­naan dadah.

“Kedua-dua suspek akan direman selama empat hari untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia