Utusan Borneo (Sabah)

Polis tembak mati dua anggota Geng Samun Rantau Sitiawan, ‘Ari’ dan ‘Kenjo’

-

IPOH: ‘Ari’ dan ‘Kenjo’ iaitu dua anggota kumpulan penjenayah warga asing paling dikehendak­i, Geng Samun Rantau Sitiawan, ditembak mati oleh polis di kawasan perkampung­an Batu 13 Jalan Bidor-Teluk Intan di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata dalam kejadian 2.10 pagi itu, dua suspek dari negara jiran berusia antara 30 dan 40 tahun, ditembak mati selepas melepaskan beberapa das tembakan dan melibas parang ke arah polis.

Katanya, sepasukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah D9 Kontinjen Perak yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Bidor dan Hilir Perak terserempa­k dengan kereta suspek dalam keadaan mencurigak­an.

“Polis cuba tahan kereta Proton Saga BLM, namun kenderaan itu terus memecut laju melalui lorong kampung untuk melarikan diri sebelum terbabas di kiri jalan.

“Ketika pihak polis menghampir­i kereta suspek, pemandu kenderaan itu melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis manakala penumpang sebelah kiri pemandu keluar sambil melibas parang pada jarak dekat dengan anggota polis,” katanya dalam sidang media di sini, kelmarin.

Hasnan berkata dalam usaha mempertaha­nkan diri, pihak polis telah membalas tembakan dan tiada anggota polis yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Beliau berkata pemeriksaa­n ke atas dua lelaki yang berasal dari negara jiran itu tidak menjumpai pengenalan diri mereka dan dokumen lain.

“Pemeriksaa­n di tempat kejadian, polis merampas pelbagai barangan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah antaranya dua pucuk pistol buatan sendiri, peluru hidup dan kelongsong peluru serta parang,” katanya sambil menambah kereta yang dinaiki suspek adalah kenderaan curi.

Menurut Hasnan hasil siasatan yang dijalankan mendapati kumpulan itu disyaki aktif melakukan jenayah samun sejak setahun lalu membabitka­n empat kes di Kontinjen Perak dan enam kes Kontinjen Pulau Pinang dengan jumlah kerugian kira-kira RM450,000.

“Tiga lagi anggota kumpulan itu telah balik ke negara asal mereka manakala dua lagi telah ditembak mati oleh pihak polis di daerah Muallim pada tahun lepas.

Geng samun warganegar­a asing ini aktif melakukan jenayah dengan mengikat dan mencederak­an mangsa selain menggunaka­n senjata api untuk melakukan kegiatan samun. Suspek lebih cenderung melakukan samun di kawasan pedalaman, katanya.

Beliau berkata dengan tertangkap­nya anggota kumpulan itu, kes samun di Perak berkuranga­n dan pihak polis mengucapka­n terima kasih kepada orang awam yang telah memberi maklumat serta membantu polis sehingga dapat menumpaska­n penjenayah yang aktif dan berbahaya itu.

Dalam pada itu, Hasnan menyeru orang ramai yang ingin pulang ke kampung sempena Aidilfitri mengisi borang lawatan polis bagi membolehka­n pihaknya melakukan rondaan di kawasan rumah mereka.

“Tahun lepas kami hanya terima 30 borang bagi seluruh Perak. Jadi tahun ini kami nasihatkan orang ramai mengisi borang ini supaya polis dapat melakukan rondaan bagi mengelak jenayah seperti rompakan berlaku,” katanya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia