Warga Kg Narawang berterima kasih kepada kerajaan
RANAU: WARGA Kampung Narawang, 18 kilometer dari Pekan Ranau, berterima kasih kepada kerajaan kerana menyalurkan pelbagai projek pembangunan infrastruktur untuk kemudahan penduduk kampung berkenaan.
Pengerusi Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Narawang Nashion Abidi, 45, dan Ketua Kampung Ilias Yendulu, 54, memberitahu kerajan telah banyak menyalurkan peruntukan projek pembangunan di kampung itu termasuklah pembinaan dewan mini, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), sekolah rendah (SK Narawang), Tadika Kemas, Klink Desa, jalan raya serta bekalan letrik dan air.
“Kami amat berterima kasih kepada Ahli Parlimen Ranau Datuk Dr Ewon Ebin, Adun Paginatan Datuk Siringan Gubat, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan Georgina George dan Ketua Pemuda Upko Ranau Mohd Hisyamuddin Harun kerana sentiasa turun padang memantau permasalahan di peringkat kampung termasuk keperluan penduduk,” kata Nashion.
Menurut beliau penduduk Kg Narawang adalah majoriti suku kaum Dusun dan kegiatan pertanian merupakan sumber utama menjana pendapatan bagi hampir setiap keluarga termasuklah mengusahakan sawit dan getah serta berniaga kecil-kecilan. Manakala yang lain sama ada bekerja sebagai kakitangan kerajaan atau swasta.
“Penduduk di sini kini mencecah 800 orang dan merupakan penyokong kuat kerajaan,” kata Nashion sambil menambah, di kampung itu juga ada tamu mingguan yang dijalankan pada Selasa setiap minggu bermula dari jam 6.30 hingga 9.30 pagi.
“Bagaimanpun, ada beberapa lagi keperluan kami di sini iaitu pembinaan jalan raya sejauh 15 kilometer ke kawasan pertanian termasuk pembinaan dua jambatan gantung seterusnya proses pengukuran tanah menerusi PANTAS,” kata Ilias.
Nashion turut mengemukakan permohonan kepada kerajaan supaya menyediakan sebuah padang bola sepak dan gelanggang futsal untuk kemudahan para belia dan beliawanis di kampung berkenaan.