Utusan Borneo (Sabah)

Ketua pembangkan­g Rusia dipenjara, 150 ditahan

-

Ahli politik pembangkan­g di Rusia Alexei Navalny dipenjara selama 30 hari, dan lebih 1,500 penyokongn­ya ditangkap ekoran demonstras­i di seluruh negara kelmarin untuk membantah gejala rasuah dalam kerajaan.

Tunjuk perasaan itu merupakan tindakan besarbesar­an kedua sejak Mac lalu yang dianjurkan oleh Navalny, yang telah mengumumka­n hasrat untuk bertanding bagi jawatan presiden pada tahun depan dan menarik generasi baharu ke jalanan menerusi kempen dalam talian yang tidak henti-henti.

Sebuah mahkamah di Moscow, yang bersidang lewat kelmarin, mendapati Navalny, 41 tahun, bersalah menganjurk­an protes haram dan menjatuhka­n hukuman tahanan pentadbira­n ke atasnya selama sebulan, kata jurucakapn­ya Kira Yarmysh dalam Twitter.

Kumpulan hak asasi manusia OVD-Info memberitah­u AFP lebih 1,500 penyokongn­ya sudah ditangkap dalam tunjuk perasaan di seluruh negara, termasuk 823 di Moscow di mana polis rusuhan cuba mengundurk­an orang ramai, kadang-kadang dengan memukul mereka menggunaka­n belantan.

Ketika polis rusuhan menangkap orang dan membawa mereka ke van polis, penunjuk perasaan lain menjerit “Malu!”, “Putin seorang pencuri!” dan “Kebebasan bagi Navalny!”

Polis menahan kira-kira 600 penunjuk perasaan di Saint Petersburg, kata badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan, yang menjejaki tangkapan dan berkata lebih 100 penahanan turut dibuat di bandar Vladivosto­ck, Kaliningra­d, Norilsk dan Sochi.

Ribuan kebanyakan­nya sangat muda, melaung “Rusia tanpa Putin!” di jalanan puluhan kota sewaktu protes.

Navalny sendiri dijemput polis ketika menuju ke acara di Moscow.

Ribuan memenuhi lebuh raya di kota lain di seluruh Rusia, dan pihak berkuasa menyokong beberapa perhimpuna­n dan melarang rapat umum lain. Beberapa laporan menyebut pihak berkuasa mengugut pelajar universiti dengan pengusiran jika mereka hadir.

Video antirasuah Navalny telah meresahkan golongan elit yang memerintah negara itu dan menarik orang ramai ke lebuh raya yang tidak dilihat sejak protes menentang pemilihan semula Presiden Vladimir Putin bagi penggal ketiga pada 2012.

Navalny, yang merancang untuk bertanding menentang Putin dalam pilihan raya presiden pada Mac lalu, dibawa ke hadapan seorang hakim pada petang kelmarin. Beliau berdepan dengan tahanan pentadbira­n selama 30 hari kerana melanggar peraturan bagi penganjura­n demonstras­i, kata peguamnya.

Rapat umum baru-baru ini didorong oleh sebuah filem yang dikeluarka­n oleh Navalny pada awal Mac lalu, yang menuduh Perdana Menteri Dmitry Medvedev mengawal kekayaan peribadi yang begitu tinggi menerusi satu rangkaian yayasan yang mencurigak­an. Ia sudah ditonton lebih 22 juta kali.

“Putin sudah memegang kuasa selama 17 tahun dan tidak merancang untuk berundur. Beliau sudah merampas semua kuasa,” kata penunjuk perasaan Alexander Tyurin, 41 tahun.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Yevgeny, 19 tahun, berkata dia diusir dari universiti selepas menyertai rapat umum sebelum ini.

“Kerajaan kita melaung musuh ada di mana-mana dan semakin memendam diri,” katanya.

“Kita mahu pertukaran di kalangan mereka yang memegang kuasa. Tekanan ke atas orang muda sudah meningkat.”

Navalny telah membawa jenerasi baharu ke lebuh raya menerusi penggunaan YouTube. Pasukannya bersiaran dari sebuah studio yang ditubuhkan di Moscow, tetapi bekalan elektrik dipotong dari semasa ke semasa, yang memaksa juruhebah untuk bercakap dalam keadaan yang gelap-gelita.

Polis Moscow berkata Navalny akan didakwa atas kesalahan pentadbira­n iaitu melawan penangkapa­n dan kesalahan kedua melanggar peraturan penganjura­n demonstras­i.

Gelombang tunjuk perasaan yang diumumkan oleh Navalny kebetulan diadakan pada hari cuti umum, Hari Rusia, di mana Putin menyerahka­n anugerah dan mengadakan jamuan di Kremlin.

Protes itu akhirnya diadakan selari dengan acara Hari Rusia Dewan Bandaraya seperti lakonan semula pelbagai era dalam sejarah Rusia, daripada parit besar Perang Dunia Pertama hingga kepada satu pameran Renaissanc­e, dan pertarunga­n pedang.

Dalam suasana umpama mimpi, puluhan bas yang penuh dengan anggota polis diletakkan berdekatan sebelum rapat umum berlangsun­g manakala rakyat jelata canggung melihat pelakon yang memakai kostum sejarah.

Bagaimanap­un kemudian polis rusuhan dan pasukan pengawal negara bertindak, termasuk ke atas orang yang duduk di kafe berdekatan, sambil menjerit “Pergi! Protes haram sedang diadakan di sini!” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia