Utusan Borneo (Sabah)

Indonesia sita hasil tenggiling hampir RM1j

-

Pihak berkuasa Indonesia merampas ratusan tenggiling dan sisiknya dalam rampasan bernilai AS$190,000 (RM836,000) selepas membongkar operasi penyeludup­an yang besar, kata seorang pegawai semalam.

Dua lelaki turut ditangkap selepas pegawai tentera laut menyerbu gudang berhampira­n pelabuhan di Pulau Sumatera lewat kelmarin, satu tindakan yang dibuat berdasarka­n maklumat yang menyebut ia digunakan untuk menyimpan haiwan itu yang turut dikenali sebagai ‘pemakan semut bersisik’.

Mereka menjumpai 223 tenggiling hidup, 24 bangkai beku, selain sembilan beg besar sisik tenggiling, kata jurucakap tentera laut tempatan Sahala Sinaga.

Menurut Sinaga, sisik tenggiling digunakan dalam pengeluara­n syabu.

Dia berkata, rampasan keseluruha­n berhampira­n kota Medan, yang sepatutnya dihantar ke negara jiran Ma-laysia, bernilai Rp2.5 bilion.

Ini bukti lanjut dagangan dalam mamalia paling banyak diseludup di dunia itu masih berleluasa di sebalik usaha giat membendung­nya.

Tahun lepas mamalia lemah lembut suka menyendiri itu menerima tahap perlindung­an tertinggi daripada dagangan haram pada persidanga­n global di Afrika Selatan.

Sinaga berkata, lelaki yang ditahan, kedua-duanya berusia 43 tahun, disyaki pemain kecil dalam sindiket.

Mereka berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda Rp100 juta jika didapati bersalah melanggar undang-undang perlindung­an hidupan liar. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia