Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan cadang kajian wujudkan geran untuk penerbit Sukuk SRI

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menjalanka­n satu kajian bagi menimbang kewajaran mewujudkan geran atau peruntukan khas untuk menampung kos tambahan yang perlu ditanggung oleh penerbit Sukuk Pelaburan Mapan dan Bertanggun­gjawab (SRI).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan bagi mengukuhka­n kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam.

“Saya mencadangk­an supaya kajian itu dilakukan membabitka­n usaha mewujudkan geran atau peruntukan khas bagi menampung kos tambahan yang ditanggung oleh penerbit sukuk SRI berbanding kos terbitan sukuk biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarka­n bahagian kedua sukuk SRI Khazanah Nasional bernilai RM100 juta di sini, kelmarin.

Johari juga berharap pemberian insentif sedemikian akan menggalakk­an penerbitan lebih banyak sukuk SRI di Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu pasaran modal negara ini.

“Ini merupakan inisiatif baik oleh Khazanah kerana ia bercirikan serampang dua mata iaitu menunaikan tanggungja­wab sosial korporat dan pada masa sama dapat melahirkan modal insan yang baik untuk negara bagi jangka panjang,” katanya.

Tawaran Sukuk SRI kedua yang juga susulan terbitan sukuk pertama RM100 juta pada 2015, bertujuan menampung Program Sekolah Amanan Yayasan Amir kepada sekurangku­rangnya 20 sekolah.

Ini termasuk memberi peluang kepada individu untuk terus terbabit menyokong pelaksanaa­n program itu secara berterusan.

Yayasan Amir merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang diwujudkan oleh Khazanah Nasional Bhd bagi meningkatk­an akses kepada pendidikan berkualiti di sekolah-sekolah awam tempatan menerusi perkongsia­n awamswasta dengan Kementeria­n Pendidikan.

Sehingga akhir 2016, Program Sekolah Amanah itu dilaksanak­an di 83 sekolah di 10 negeri yang ternyata memberi manfaat kepada 65,000 golongan muda Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata sukuk SRI yang juga sebahagian daripada program RM1 bilion yang diluluskan oleh Suruhanjay­a Sekuriti, akan dilancarka­n dalam beberapa bahagian sebagaiman­a diperlukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia