Utusan Borneo (Sabah)

Skuad hoki wanita tampil agresif benam HIC 3-1

-

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita tampil agresif untuk membenam kelab hoki Belanda, HIC 3-1 dalam aksi pemanas badan pertama sebagai persediaan mengharung­i Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) di Brussels, Belgium dari 21 Jun hingga 2 Julai ini.

Pada aksi yang berlangsun­g di Kelab HIC, Amsterdam pada Selasa (waktu tempatan), skuad ‘Malaysian Tigress’ bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit keempat menerusi pukulan sudut yang disempurna­kan oleh Fatin Shafika Mohd Sukri.

Bersambung pada suku kedua, kapten pasukan Siti Noor Amarina Ruhani menggandak­an jaringan pada minit ke-20 sebelum Hanis Nadiah Onn meledak gol lawan menerusi gol padang pada minit ke-53, untuk meletakkan skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah selesa di hadapan.

Kelab HIC yang pernah menewaskan skuad negara 30 ketika Jelajah Eropah pada April lepas, cuba bangkit dan memperoleh jaringan pada minit ke-57, namun sudah terlewat untuk mengatasi skuad negara yang baru tiba di Amsterdam pada pagi Selasa.

“Kita bermain sangat agresif dengan tekanan tinggi sejak dari mula... Mereka tidak menyangka kerana masa jelajah HIC kalahkan kita 3-0. Hari ini kita bermain dengan cara berbeza, untuk pertahanan dan bergantung kepada serangan balas secara berbeza.

“Gol awal daripada kami menyukarka­n mereka. Ini mungkin menjadi satu cara pilihan untuk bermain dalam perlawanan yang perlu kita menang,” kata Dharma Raj dalam kenyataan media.

Skuad ‘Malaysian Tigress’ seterusnya dijangka beraksi dalam dua perlawanan pemanas badan menentang kelab Pinoke pada Rabu dan Hurley pada Khamis sebelum bertolak ke Brussels.

Malaysia akan memulakan kempen WHWL menentang Australia pada 21 Jun, seterusnya berdepan Sepanyol (22 Jun), Belgium (24 Jun) dan New Zealand (27 Jun) dalam aksi peringkat Kumpulan B. Hanya empat pasukan teratas kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, pasukan lelaki yang bakal beraksi dalam kempen Liga Hoki Dunia (WHL) di London bermula esok hingga 25 Jun, mencatatka­n kemenangan 2-1 ke atas Kanada, selepas menewaskan skuad pembanguna­n Great Britain 4-2 dan Wales 4-1 dalam dua aksi pemanas badan sebelum ini.

Skuad kendalian Stephen van Huizen akan memulakan cabaran WHL peringkat Kumpulan A menentang Argentina pada Jumaat ini, sebelum beraksi menentang England (17 Jun), Korea Selatan (18 Jun) dan China (20 Jun). -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia