Ops Selamat tumpu laluan sering kemalangan
PUTATAN: Laluan sering berlalu kemalangan jadi tumpuan polis sempena Ops Selamat 11/2017 yang dijalankan bermula 19 Jun hingga 2 Julai depan.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan KomunitiNegeriSeniorAsisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, Ops Selamat kali ini membabitkan 30 laluan 'panas' di 20 lokasi seluruh Sabah.
Menurutnya lokasi-lokasi terbabit termasuklah daerah Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Penampang, Papar dan Beaufort.
Pihaknya turut menyasarkan sifar kemalangan sebagai matlamat tinggi dalam operasi kali ini.
"Sepanjang Ops Selamat dijalankan, seramai 335 anggota polis dari pelbagai cawangan ditempatkan di 20 lokasi yang dikenal pasti.
"Penempatan lebih ramai anggota akan memastikan keselamatan pengguna jalan raya di negeri ini lebih terjamin," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media majlis Pelancaran Ops Selamat 11/2017 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sabah di Tanjung Dumpil, di sini, kelmarin.
Ahmad Fadzillah berkata berdasarkan statistik Ops Selamat 9/2016, sebanyak 706 kes kemalangan direkodkan melibatkan 24 kes kematian.
Jumlah berkenaan jelasnya, menunjukkan peningkatkan sebanyak 15 kes berbanding jumlah kes sempena Ops Selamat tahun sebelumnya.
Selain itu katanya, tahun ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memperkenalkan aplikasi 'Volunteer Smart Phone Patrol' (VSP) sebagai saluran untuk sebarang aduan jenayah.