Jabatan Penyiaran Labuan dan Kelab Volkswagen Labuan bantu ma’ahad tahfiz
LABUAN: Jabatan Penyiaran Labuan tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan kepada sekolah-sekolah tahfiz sebagai tanggungjawab sosial, menerusi Program RondaRonda Ramadan Labuan FM 2017.
Program itu dapat mengeratkan silaturahim sesama kakitangan Labuanfm dan berkongsi meraikan nikmat Ramadan.
Program kali keempat itu singgah di Pusat Bimbingan Tahfiz Al-Quran Al-Ummi, Madrasah Tahfiz Al-Quran Sri Merinding dan Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Al-Badr.
Sumbanganberupabarangan elektrik seperti kipas, periuk nasi, penyedut hampagas dan cerek disampaikan oleh Pengarah Penyiaran Labuan Rohani Harithuddin.
Program yang mendapat kerjasama daripada Kelab Volkswagen Labuan itu turut memberi sumbangan berupa wang tunai dan buah kurma yang disampaikan oleh Presidennya Abdol Sapar Awang Damit bersama penasihatnya Kapten Rosli Fadil.
“Kelab Volkswagen Labuan berharap menerusi program itu dapat mewujudkan budaya kehidupan masyarakat yang penyayang dan prihatin,” kata Abdol Sapar.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli menyampaikan sumbangan Labuanfm di Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Al-Badr seterusnya berbuka puasa dan solat Maghrib secara berjemaah.
Sementara itu, Mudir Madrasah Tahfiz Al-Quran Sri Merinding Ustaz Mohd Arif Aliskah berharap pada masamasa akan datang, program itu akan dapat diteruskan untuk lebih mengenal antara satu sama lain dan menjadi satu program Ramadan yang sangat mulia ini.
“Mudah-mudahan Allah akan sentiasa memberkati program yang kita buat ini dan menjadi satu rahmat kepada kita dalam kehidupan dunia dan akhirat,”katanya.
Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian, Mudir Madrasah Tahfiz Quran Al-Badr pula berkata sumbangan yang diberikan kepada madrasah itu amat bermakna kepada mereka.
“Sesungguhnya, Allah sahaja yang membalas segala sumbangan dan juga pengorbanan yang dibuat oleh semua orang sehingga menjayakan program ini, InsyaAllah,” katanya.