Jalan raya rosak jejas pergerakan penduduk
TENOM: Ramai penduduk Kampung Rundum, Kemabong tidak dapat keluar berbelanja ke Pekan Tenom akibat jalan raya rosak teruk.
Malah ramai yang sehingga hari ini tidak dapat mengambil Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) disebabkan jalan raya licin dan berlumpur akibat tanah runtuh, kata Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Anambil Andikur.
Beliau menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membantu masyarakat Rundum yang memerlukan bantuan untuk membaikpulih jalan raya licin dan berlumpur di kawasan itu.
Sebagai pemimpin masyarakat akar umbi di kawasan itu, Anambil amat terkilan kerana sudah beberapa kali gesaan dibuat agar pihak tertentu terutama JKR segera menghantar jentera dan kakitangan untuk membaikpulih jalan raya yang telah rosak.
Namun katanya, sehingga kini sikap terus membisu jabatan berkenaan menyebabkan ramai penduduk yang tidak dapat pergi ke pekan untuk berbelanja dan mengambil BR1M mereka.
“Penduduk amat terkilan kerana JKR tidak memberi jawapan yang dapat menyakinkan penduduk sedangkan kami amat memerlukan bantuan mereka kerana ramai penduduk terperangkap di kawasan ulu tidak dapat keluar untuk berbelanja dan mengambil BR1M mereka.
“Hari Raya Aidilfitri sudah dekat, guru-guru akan keluar ke bandar dan ada yang mahu balik kampung halaman mereka untuk berhari raya tetapi jika keadaan jalan seperti itu (rosak teruk) bagaimana mereka keluar, jalan raya terhalang dan sukar dilalui,” katanya di sini pada Sabtu.
Sementara itu, JKR di sini ketika dihubungi menyatakan bahawa masalah di kawasan itu sudah diambil tindakan beberapa hari lalu dengan menghantar kakitangan serta jentera untuk membantu mengatasi masalah itu.
Bagaimanapun, beberapa penduduk menyatakan bahawa sejak dari awal lagi kejadian tanah runtuh itu berlaku tidak pernah kelihatan jabatan berkenaan datang membantu membaiki jalan itu walaupun aduan telah dikemukakan kepada jabatan berkenaan.
Baru-baru ini, dua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mukim Rundum menggesa Pejabat Daerah Kecil Kemabong agar mempercepatkan proses pelantikan tawaran kerja kepada kontraktor untuk membaikpulih jalan raya itu.
Kedua-dua pemimpin itu, Pengerusi JKKK SumambuPetrus Birau dan Pengerusi JKKK Kapulu Ansarap Korong berkata memandangkan cuaca di mukim itu pada masa ini dalam keadaan cerah dan panas maka, amat sesuai kerja membaikpulih kawasan terjejas teruk di lokasi sebelum simpang jalan ke Sumambu dan Rundum.
Petrus dan Ansarap mahukan kerja itu disegerakan kerana bimbang cuaca mungkin berubah seminggu sebelum perayaan Hari Raya Adilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Datuk Rubin Balang dalam kenyataannya baru-baru ini menyatakan bahawa peruntukan sejumlah RM2.7 juta telah pun diperolehi daripada kerajaan Persekutuan dan negeri, dan telah diserahkan kepada Pejabat Daerah Kemabong untuk menyegerakan kerja pembaikan jalan itu.