Karnival Garage Sale Bakat Darat 2017 meriah
KUALA LUMPUR: Karnival Garage Sale Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Darat 2017 telah diadakan di perkarangan Masjid Khalid Al-Walid, di sini, baru-baru ini.
Majlis telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari, dan diserikan dengan persembahan seni mempertahankan diri oleh Kor Polis Tentera Diraja.
Sebanyak 38 tapak gerai yang menawarkan pelbagai produk jualan seperti makanan, pakaian, aksesori, hiasan rumah, makanan kesihatan dan sebagainya.
Isteri-isteri pegawai dan anggota yang merupakan ahli Bakat dari Markas 1 Divisyen, Sarawak yang diketuai Pengerusinya Datin Jacqueline Peris tidak melepaskan peluang menyertai Karnival Garage Sale Bakat Darat itu yang berlangsung selama dua hari dari jam 8 pagi hingga 10 malam.
Sajian menu istimewa dari negeri Bumi Kenyalang seperti Laksa Sarawak dan Mee Kolok berjaya menambat hati ramai pengunjung di samping menu rojak buah dan pisang goreng berkeju.
Program yang diilhamkan oleh Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat Darat Datin Sri Zaleha Md Yusof itu telah menjadi satu platform yang baik untuk ahlinya mengasah bakat keusahawanan seterusnya menjana pendapatan untuk tabung Bakat.
Ahli Bakat juga dapat beramal dengan membuat sumbangan CSR di mana hasil jualan disalurkan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan.
Semasa penyertaan Garage Sale Bakat Darat 2017, ikatan kekeluargaan dan silaturahim sesama ahli dari seluruh negara tanpa mengira bangsa dan agama terjalin dengan penuh harmoni.