Khidmat pemimpin BN bukan bermusim: Samsudin
SANDAKAN: Konsep turun padang dan memberi perkhidmatan dari rumah ke rumah yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah secara berterusan, bukannya ketika musim pilihan raya sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong Datuk Samsudin Yahya berkata perkhidmatan yang diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan juga meliputi semua pihak termasuk penyokong pembangkang.
Beliau mengingatkan rakyat DUN Sekong agar tidak menyokong sesetengah pemimpin yang bersikap umpama ‘muncul dan hilang’ yang hanya turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat secara bermusim bila dekat pilihan raya sahaja.
“Wakil rakyat BN sentiasa turun padang mendengar denyut nadi rakyat, jika ada masalah kita bantu bukan tunggudekatpilihanrayabaharu janji itu dan ini. Pemimpin BN bukan pemimpin bermusim yang hanya turun padang ketika pilihan raya.
“Pemimpin BN sentiasa mendengar rintihan rakyat dan memberi bantuan tanpa mengira waktu. Kita sentiasa prihatin dan mengambil peduli kebajikan rakyat demi kesejahteraan rakyat keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan ihsan warga emas dan anak-anak yatim di Kampung Istimewa, Batu Sapi, kelmarin.
Menurut Samsudin yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Sapi, pendekatan dan perkhidmatan yang dilaksanakan kerajaan BN adalah secara berterusan melibatkan semua golongan masyarakat.
“Sumbangan dan bantuan daripada kerajaan BN, bukannya sekadar hadir bila adanya musim pilihan raya malah, khidmat wakil rakyat BN sepanjang masa, kita tidak pernah menjanjikan bulan dan bintang seperti pembangkang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat di kawasan itu supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sering saja mengadu domba dengan menggunakan sentimen kaum, fitnah dan melontarkan provokasi yang boleh menimbulkan emosi kemarahan rakyat kepada pemimpin dan kerajaan BN.
Dalam majlis itu, Adun Sekong menyampaikan sumbangan kepada 169 penerima terdiri golongan asnaf seperti ibu tunggal, warga emas, anak yatim serta kurang berkemampuan. Sementara, 95 orang lagi menerima bantuan daripada Pusat Zakat Sabah.
Program itu merupakan anjuran bersama Pusat Zakat SabahdenganCementIndustries (Sabah) Sdn Bhd di mana sumbangan berupa keperluan harian seperti beras, minyak masak dan wang tunai.
Sepanjang bulan Ramadan ini, Adun Sekong turut menyampaikan sumbangan di Kampung Sengke dan Kampung Kwong Borneo kepada 50 penerima warga emas dan asnaf. Selain itu, sumbangan kerusi roda melalui peruntukan Adun Sekong kepada Loloh Ayah yang sedang uzur di Desa Permai, Batu Sapi.
Sementara di Kampung Baharu, Kampung Terusan Baharu dan Kampung Semora dalam Zon Kepulauan Sekong, Samsudin menyampaikan sumbangan kepada 195 orang dan 33 penerima daripada Pusat Zakat Sabah.
Manakala di Masjid Al Falah Kampung Karamunting pula, seramai 343 orang terdiri daripada golongan asnaf telah disenaraikan sebagai penerima bantuan zakat.