Pembangunan Sabah diutamakan
Rahman Dahlan adakan perbincangan bersama Perdana Menteri dan KM Sabah
KOTA KINABALU: Agenda pembangunan di Sabah akan dijadikan keutamaan memandangkan negeri ini masih memerlukan banyak pembangunan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, sebagai menteri bertanggungjawap terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU), pelbagai perbincangan dengan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah telah diadakan bagi pelaksanaan pembangunan di Sabah.
“Sabah masih memerlukan banyak pembangunan. Sejak saya diamanahkan untuk menerajui EPU, pelbagai perbincangan telah dilakukan mengenai soal kehendak dan keperluan pembangunan Sabah.
“Selama ini, terdapat beberapa projek besar sudah kita luluskan peruntukannya seperti pembesaran Lapangan Terbang Sandakan sebanyak RM80 juta, RM400 juta untuk menaiktaraf jalan di sekitar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan RM29 juta untuk projek bekalan air bersih di Ranau,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya, kelmarin.
Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Adun Karanaan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun kerana mengemukakan masalah bekalan air di Ranau.
Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata kehadiran yang ramai di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri adalah platform terbaik untuk semua pihak mengeratkan lagi hubungan persaudaraan di antara satu sama lain.
Katanya rumah terbuka yang diadakan dapat mengumpulkan masyarakat daripada semua peringkat untuk datang bersama-sama meraikan perayaan itu.
“Hari ini kita boleh nampak perasaan kekitaan dan persaudaraan berbilang kaum di Sabah yang nyata terpancar di setiap muka pengunjung yang datang.
“Pihak pembangkang juga hadir untuk bermesra dengan pemimpin kerajaan, suasana ini adalah lebih mesra di Sabah,” katanya.
Beliau berkata perasaan seumpamanya perlu dikekalkan. Walaupun terdapat perbezaan dari segi fahaman politik, ekonomi dan kerajaan tetapi perlu mencari titik persamaan yang mana semua pihak mampu menyatupadukan masyarakat di Malaysia.
Turut hadir di majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak, Pengerusi Gerakan Sabah Datuk Gordon Leong, Pengerusi MIC Sabah Datuk V Jothi serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Sabah masih memerlukan banyak pembangunan. Sejak saya diamanahkan untuk menerajui EPU, pelbagai perbincangan telah dilakukan mengenai soal kehendak dan keperluan pembangunan Sabah. DATUK SERI ABDUL RAHMAN DAHLAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri