Firma tempatan rugi susulan pemansuhan dasar kabotaj
KUALA LUMPUR: Berikutan tindakan negara luar yang mengetatkan dasar kabotaj masing-masing, tindakan terbaharu Malaysia memansuhkan dasar itu dilihat memberi kesan ke atas industri maritim domestik walaupun dikatakan mengikut kedinamikan pasaran bebas.
Industri ini mungkin terjejas sehingga tidak akan ada lagi perniagaan untuk pembina dan pembaik kapal tempatan (SBSR), sub-unit dalam industri maritim.
Dengan pemansuhan dasar itu, pemilik kapal Malaysia boleh menempah kapal dan membaik pulih kapal di limbungan asing jika ia lebih murah atau lebih mudah untuk mereka melakukannya, atau jika sesuai dengan strategi perniagaan masing-masing.
Sementara itu, dasar kabotaj dilaksanakan oleh negara lain bagi menghalang kapal asing daripada beroperasi di dalam perairan mereka.
Di peringkat global, Kesatuan Eropah telah memperkenal peraturan untuk mengehadkan perjalanan kabotaj yang dilakukan oleh syarikat perkapalan asing di perairan negara anggota, manakala Australia juga telah mengetatkan sekatan kabotaj bagi kapal pesisir pantai.
Indonesia memperluas peraturan kabotajnya untuk memasukkan kapal sokongan luar pesisir (OSV) bagi menyokong industri minyak dan gas (O&G) serta menggalakkan pembangunan sektor pembinaan kapal tempatan.
Langkah ini mempunyai kesan limpahan positif ke atas perniagaan limbungan kapal di negara dan wilayah tersebut.
Namun, pengetatan peraturan kabotaj di Indonesia mempunyai kesan buruk ke atas beberapa limbungan di Sarawak yang digunakan untuk melaksanakan projek-projek bangunan baharu bagi pemilik kapal Indonesia, termasuk kapal penumpang, kapal tunda, tongkang dan kapal sokongan luar pesisir.
Tindakan Indonesia itu menyebabkan banyak limbungan kapal di Indonesia akan memperoleh lebih banyak perniagaan daripada pemilik kapal tempatan, manakala Sarawak pula akan kehilangan perniagaan.
Pemansuhan dasar kabotaj yang telah dilaksanakan selama 30 tahun di Malaysia mendapat reaksi berbeza, dengan ada yang menyokong perubahan itu dan yang lain mengatakan industri itu sudah kehilangan sokongan.
Berkuat kuasa 1 Jun, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak lagi terikat dengan dasar yang dikenakan ke atas semua perkhidmatan perkapalan kargo antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Pakar perkapalan, Nazery Khalid menjelaskan bahawa limbungan tempatan mampu bergerak lebih jauh jika dasar kabotaj di teruskan.
“Sebagai contoh, limbungan tempatan akan mendapat manfaat jika ada syarat yang menetapkan pemilik kapal tempatan yang mendapat perniagaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membawa kargo atau menyediakan perkhidmatan perkapalan luar pesisir, menempah kapal untuk tugaasn itu daripada limbungan tempatan.
“Menerusi pelaksanaan kabotaj di SBSR, limbungan tempatan boleh berkembang bersama sektor perkapalan, dan ini boleh mencetuskan kesan pengganda yang baik kepada subsektor lain dalam industri marin tempatan,” katanya.
Nazery berkata ini dapat membantu mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Induk Pembuatan Kapal/Baik Pulih Kapal Malaysia 2020, yang merangkumi matlamat untuk memperoleh dua peratus daripada keseluruhan pasaran pembinaan baharu dunia menjelang 2020.
Beliau juga berpendapat bahawa mengetatkan dasar itu akan meningkatkan sektor SBSR Malaysia, terutama ketika beberapa limbungan yang mengalami kekurangan tempahan dan berusaha untuk memperoleh projek baharu ketika permintaan untuk perkhidmatan perkapalan yang rendah, lebihan kapasiti dalam segmen perkapalan tertentu, harga minyak yang rendah dan pembiayaan yang ketat yang telah menambah kos pembinaan kapal di limbungan tempatan.
“Mungkin buat permulaan ini, pemilik kapal tempatan yang bersaing untuk mendapatkan kontrak daripada GLC di perairan tempatan, disyaratkan membuat tempahan kapal di limbungan tempatan untuk melayakkan mereka mendapat kontrak.
Keperluan seperti itu juga boleh dikenakan ke atas pemilik kapal yang membeli kapal yang menggunakan dana awam, seperti pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan pembangunan seperti Bank Pembangunan.
“Mereka juga boleh menetapkan jadual untuk mengenakan peraturan kabotaj ke atas beberapa jenis kapal untuk kegunaan di perairan Malaysia yang tidak dapat dilaksanakan oleh limbungan tempatan pada masa ini, bagi memaksa pemilik tempatan membuat tempahan daripada mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Alam Sekitar Muhibbah Marine Engineering Sdn Bhd (MMESB), Ooi Kien Chuan, berkata limbungan tempatan mengalami tempahan rendah hingga sifar memandangkan pemilik kapal luar pesisir menukar pelan pengembangan armada, disebabkan syarikat minyak utama mengurangkan perbelanjaan modal dan projek luar pesisir berikutan ketidakpastian dalam pasaran dunia. — Bernama