Paderi diculik militan Islam di Marawi masih hidup: Tentera
MARAWI: Seorang paderi Roman Katolik yang diculik oleh puak militan Islam yang merampas beberapa tempat di sebuah kota selatan Filipina dikesan masih hidup, kata tentera pada Selasa, manakala anggota tentera meneruskan operasi serangan mereka.
Serangan udara dan artileri ke atas kawasan yang diduduki anggota militan di kota Marawi yang mempunyai majoriti penduduk Islam bersambung setelah gencatan senjata selama lapan jam pada Isnin untuk membolehkan penduduk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Jurucakap tentera Leftenan Kolonel Jo-Ar Herrera berkata, anggota militan sengaja membakar rumah dan menggunakan bom buatan sendiri, jerangkap samar dan tebusan sebagai perisai manusia untuk melengahkan kemaraan tentera, lima minggu selepas peperangan itu bermula.
Ratusan lelaki bersenjata yang mengibarkan bendera hitam kumpulan Negara Islam (IS) menduduki beberapa bahagian di Marawi pada 23 Mei lalu, yang mencetuskan pertempuran berdarah yang sudah meragut hampir 400 nyawa menurut kiraan rasmi.
Father Teresito ‘Chito’ Suganob, seorang paderi Katolik yang ditugaskan ke Marawi, diculik bersama beberapa anggota paroki pada awal peperangan.
Herrera, jurucakap angkatan tentera di Marawi, berkata paderi itu dikesan masih hidup pada Isnin di satu bahagian di kota itu yang masih berada di dalam tangan pelampau.
“Kami tidak ada maklumat mengenai kesihatannya. Kami baharu sahaja dimaklumkan bahawa dia kelihatan masih hidup,” katanya kepada pemberita, yang memetik kenyataan dari orang awam yang diselamatkan dari zon pertempuran.
Dia juga berkata kira-kira 100 tebusan awam masih berada dalam tangan lelaki bersenjata tersebut, digunakan sebagai “perisai manusia”, pembawa peluru dan pengusung.
Pertempuran bersambung dengan ganas semalam, dan jet pejuang kerajaan dan pesawat lain kelihatan melancarkan serangan bom.
“Operasi serangan kami sudah bersambung dan akan diteruskan supaya kita dapat membebaskan Marawi secepat mungkin,” kata Herrera pada sidang akhbar di Marawi.
Beliau berkata mayat dua anggota militan, yang dipercayai dari Timur Tengah kerana ciri-ciri fizikal mereka, dijumpai di tempat kejadian satu serangan udara sebelum ini, satu tanda bahawa pejuang asing telah menyertai pertempuran itu.
“Pengganas asing ini yang terbabit dalam peperangan ini adalah pakar bom. Mereka adalah orang yang memudahkan pemasangan bom pada bangunan dan rumah,” kata Herrera.
Lapan pejuang asing, termasuk dari Chechnya, Indonesia dan Malaysia, maut pada peringkat awal peperangan itu, kata kerajaan.
Herrera berkata mereka masih cuba mengesahkan laporan bahawa Isnilon Hapilon, seorang veteran militan Filipina yang dikatakan ketua IS di Asia Tenggara, sudah lolos dari Marawi walaupun dikepung oleh tentera dan polis. — AFP