Utusan Borneo (Sabah)

Pejalan kaki terbunuh dalam kejadian langgar lari

- Oleh MOHD NAZIB MACPEE

KUNAK: Polis sedang mengesan sebuah kenderaan dipercayai berwarna perak yang disyaki terlibat dalam kes kemalangan langgar lari sehingga mengakibat­kan seorang lelaki warga emas (pejalan kaki) terbunuh dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Kunak-Semporna, Ahad lalu.

Jurucakap Polis Daerah Kunak yang mengesahka­n kejadian itu berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam itu, mangsa dikenali sebagai Labobo Ladasulao, 77, yang memiliki dokumen Permastaut­in Tetap dan merupakan salah seorang penduduk di daerah itu.

Menurutnya kejadian itu telah disedari oleh orang awam yang menjumpai mayat mangsa semasa melalui kawasan itu sebelum memaklumka­n perkara itu kepada pihak polis.

“Siasatan awal polis mendapati berdasarka­n beberapa kesan yang diperolehi di tempat kejadian, kemungkina­n mangsa telah dilanggar oleh sebuah kenderaan berwarna silver (perak) yang tidak dikenali,” katanya sambil menambah, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang awam agar tampil membantu siasatan kes jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu.

“Kepada mana-mana orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu, boleh menghubung­i Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Pusphalath­a Shukumar di talian 010-2156785 atau Balai Polis Kunak di talian 089851222.

“Kes merupakan kemalangan maut di daerah ini dalam tempoh Ops Selamat sempena perayaan Aidilfitri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia