Budak bergayut di bawah bas dari Maghribi ke Sepanyol
MADRID: Seorang budak lelaki telah membuat perjalanan sejauh 230 kilometer dari Maghribi ke Sepanyol dengan bergayut di bawah sebuah bas, kata pihak berkuasa kelmarin, dalam satu lagi contoh tindakan terdesak yang diambil oleh pendatang untuk pergi ke Eropah.
Perkhidmatan kecemasan di bandar Seville di selatan Sepanyol memuat naik dalam Twitter sebuah video menunjukkan budak lelaki yang dibawa dari sebuah bas yang menurut mereka berasal dari Tangier, kira-kira 230 kilometer jauhnya, memakai sepasang kemeja-T putih yang kotor.
Mereka berkata dia telah dibawa ke sebuah hospital namun berada dalam keadaan yang baik.
Seorang jurucakap polis memberitahu AFP budak lelaki itu adalah rakyat Maghribi.
Namun dia berkata dia telah dimaklumkan bas itu berasal dari Tetouan, sebuah lagi bandar Maghribi yang masih jauh.
“Bas itu tiba di Seville, dan ketika pemandu hendak membenarkan penumpang keluar, dia telah mengesan sesuatu yang pelik,” kata jurucakap itu.
“Dia segera menghubungi pihak polis dan bomba, serta mereka menemui budak lelaki itu yang berpaut pada bahagian bawah bas,” tambahnya.
Pendatang dari Afrika sering kali membahayakan nyawa mereka dengan cuba memasuki Eropah melalui Sepanyol.
Ramai yang cuba menyeberangi lautan Mediterranean dengan menggunakan bot usang atau memanjat pagar sempadan yang memisahkan wilayah Sepanyol di Ceuta dan Melilla dari utara Maghribi. — AFP