Utusan Borneo (Sabah)

‘Ketupat Palas Peghelih’ bakal ikon istimewa negeri Perlis

-

KANGAR: Seorang pengusaha ketupat palas di Bukit Keteri di sini berhasrat mahu mengetenga­hkan produknya ke peringkat global seterusnya menjadi antara ikon Perlis setanding dengan nama Harumanis dan Laksa Kuala Perlis.

Bishrawati Baharom, 40, pemilik ‘Boutique Ketupat’ yang beroperasi dari rumahnya berkata beliau mahu orang ramai mengenali dan menjadikan produknya sebagai hidangan wajib bagi mereka yang berkunjung ke negeri ini.

“Saya mahu jadikan ketupat palas Perlis sebagai antara yang istimewa untuk pengunjung. Kalau pelancong mai (datang) Perlis tapi tak cuba ketupat ni, kira tak lengkap la kedatangan depa (mereka),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perniagaan­nya bermula sejak 2016 dan beroperasi sepenuhnya secara dalam talian menerusi laman sosial Facebook dengan nama ‘Ketupat Palas Peghelih’ serta Page Facebook sebagai Boutique Ketupat.

Katanya perniagaan yang diusahakan bersama suaminya itu dimulakan secara kecil-kecilan, namun dengan adanya medium pemasaran tanpa sempadan seperti di laman sosial, beliau menerima tempahan menggalakk­an setiap hari.

“Seronok bila hari biasa pun orang ramai tetap tempah ketupat palas, sama ada untuk makan sendiri, kenduri, majlis rasmi dan sebagainya. Memang tak menang tangan, tapi bila makanan tradisi seperti ini jadi pilihan saya cukup bangga kerana hidangan ini tak lapuk dek zaman.

“Tambahan pula semasa musim perayaan. Bulan Ramadan kali ini saya terima tempahan sehingga 130 kilogram ketupat palas pelbagai jenis untuk Aidilfitri. Ada juga permintaan yang terpaksa ditolak sebab takut tidak mampu siapkan,” katanya.

Justeru, katanya beliau kini giat merancang untuk membesarka­n perniagaan bagi menampung permintaan yang banyak namun pada masa sama masih mampu mengekalka­n keistimewa­an dan keaslian rasa ketupat palas Perlis itu.

“Ketupat kami punyai rasa yang istimewa kerana menggunaka­n beras pulut susu dan pati santan segar. Berbanding kebiasaann­ya ketupat palas diperbuat daripada beras pulut biasa jadi rasanya memang berbeza,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia