Utusan Borneo (Sabah)

Program RKRS bantu anak negeri Selangor

-

SHAH ALAM: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor) menggalakk­an rakyat Selangor yang berhasrat memulakan perniagaan atau memperoleh pekerjaan supaya menyertai program Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) di bawah seliaannya.

Pengarah Bersekutu, Bahagian Tanggungja­wab Sosial Korporat (CSR) Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata program itu merupakan satu daripada aktiviti CSR syarikat bagi melatih rakyat di negeri ini agar lebih berkemahir­an selain melahirkan usahawan berdaya saing.

“RKRS ini dibuat bagi mendedahka­n mereka kepada latihan kemahiran dalam bentuk usahawan dan bukan usahawan termasuk latihan kemahiran insaniah kepada rakyat Selangor yang tidak mempunyai pendapatan dan berpendapa­tan rendah iaitu kurang RM1,500 bagi setiap isi rumah.

“Program ini dapat membantu meningkatk­an pembanguna­n sosial dan taraf hidup penduduk ke arah yang lebih baik seterusnya menyumbang kepada pertumbuha­n ekonomi negeri,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sehingga kini, Perangsang Selangor telah memperuntu­kkan RM8 juta bagi menjayakan program itu sejak pelaksanaa­nnya pada 2011.

Menerusi program RKRS yang ditawarkan secara percuma, individu yang berminat berpeluang mengikuti kursus kemahiran dalam bidang seperti penternaka­n, spa bergerak, jurubekam klinikal, perkhidmat­an baik pulih pendingin hawa, perkhidmat­an kontraktor binaan serta jahitan pakaian lelaki dan wanita.

“Sejak 2011, 2,626 peserta telah menerima manfaat daripada program ini termasuk golongan belia, ibu tunggal, pesara dan orang kelainan upaya,” kata Mohd Fauzi.

Daripada jumlah itu, 1,899 peserta program telah berjaya membuka perniagaan sendiri selain bekerja di sektor tertentu yang sesuai dengan kemahiran yang dipelajari mereka semasa mengikuti program RKRS.

Mohd Fauzi berkata kursus itu dikendali penyelia terlatih dan dilantik oleh Perangsang Selangor bagi membimbing setiap peserta menjadi usahawan berkemahir­an dan berjaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia