Utusan Borneo (Sabah)

SKOMK ceburi bidang hartanah untuk kukuhkan kewangan koperasi

-

TELUK INTAN: Koperasi Orang Melayu Kerajaan (SKOMK) Perak Berhad melabur hampir RM50 juta dalam bidang hartanah di Perak bagi mengembang­kan kedudukan kewangan koperasi berkenaan pada masa akan datang.

Pengerusi SKOMK Kassim Muhammad berkata koperasi itu membuat pelaburan dalam projek pembinaan 131 unit kediaman di tanah miliknya seluas 7.7 hektar di kilometer 14, Batu 9 Mukim Changkat Jong dekat sini.

Katanya projek itu merangkumi 30 unit rumah teres setingkat, 96 unit rumah berkembar (semi-D) setingkat dan lima unit banglo.

“Projek perumahan fasa pertama ini kita jadikan sebagai kawasan perumahan elit, berpagar serta dilengkapi khidmat pengawal keselamata­n, dengan kira-kira 5,300 anggota SKOMK berpeluang membeli rumah itu pada harga diskaun.

“Kita sasarkan golongan profesiona­l dan penjawat awam untuk membeli rumah di kawasan perumahan gaya moden ini, yang akan dilengkapi surau, taman permainan serta dewan orang ramai,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Kassim berkata rumah teres setingkat akan dijual bermula pada harga RM240,000, rumah berkembar (RM350,000 ke atas), manakala unit dan banglo dijual pada harga RM450,000 ke atas.

Menurutnya projek itu dilaksanak­an dengan kerjasama syarikat pemaju, UPSI Holding Sdn Bhd (UHSB) dan dijadual siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dalam perkembang­an lain, Kassim berkata Suruhanjay­a Koperasi Malaysia meluluskan permohonan koperasi itu bagi mengurus 17 daripada 22 koperasi di negeri Perak bagi berminat membuka rangkaian MyFarm Outlet Kasih.

“Kita kini giat melakukan proses reka bentuk sebelum menyiapkan kesemua 17 cawangan itu secara berperingk­at,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia