Flash card bantu belajar dengan cepat
bahasa Arab
ANDA ingin belajar bahasa Arab tetapi rasa sukar untuk memahaminya?.
Apa pun masalah, anda tidak perlu risau dan bimbang lagi dengan adanya kad imbasan (flash card) kosa kata bahasa Arab, ciptaan seorang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.
Permainan flash card bergambar, yang direka cipta oleh Hamadallah Mohammad Salleh dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM itu, membolehkan seseorang itu bertutur dan membina ayat dalam bahasa Arab dengan baik dalam masa yang singkat.
Idea untuk membuat permainan flash card itu timbul selepas terdapat masalah dalam kalangan pelajar yang menuntut bahasa Arab untuk berkomunikasi dengan baik.
Malah, Hamadallah berkata ada dalam kalangan pelajar memerlukan masa yang sedikit panjang untuk menterjemah sesuatu perkataan, sebelum mampu membuat ayat atau berkomunikasi.
“Saya belum pernah jumpa kaedah ini dalam pasaran dan saya mencari satu permainan yang boleh menyokong kemahiran bertutur tanpa bantuan tenaga akademik,’ katanya kepada Bernama.
Produk flash card itu adalah permainan yang direka sebagai alat untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Arab dalam kalangan pelajar terutamanya mereka yang tidak berada dalam persekitaran pembelajaran bahasa Arab, katanya.
Menurutnya, eksperimen permainan itu selama 10 minggu itu dilakukan terhadap pelajar di Universiti Sdyney, Australia dan rata-rata menunjukkan perubahan signifikan dalam komunikasi mereka dalam tempoh terbatas itu.
Melalui kajian juga, dalam tempoh setengah jam, pelajar-pelajar mampu menghafal 20 patah perkataan bahasa Arab, katanya.
Hamadallah berkata produk itu dimainkan lima pemain dengan seorang daripadanya menjadi hakim dan perlu mengeluarkan arahan kepada empat lagi pemain untuk membina ayat dengan pantas dan ia sesuai kepada yang baru hendah belajar bahasa Arab.
“Katanya, permainan tersebut dibangunkan pada 2015 dengan kos RM15,000 termasuk penyelidikan dan kini mereka mencari syarikat yang berminat untuk mengkomersialkan produk itu.
Produk tersebut meraih pingat emas pada Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2017 (ITEX) di Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas. -Bernama