Serangan tembakan di masjid Perancis, lapan cedera
MARSEILLE: Lapan termasuk seorang kanak-kanak perempuan cedera ringan lewat kelmarin dalam kejadian tembakan di depan sebuah masjid di tenggara Perancis di bandar Avignon, menurut pejabat pendakwa raya yang menolak faktor keganasan.
Menurut keterangan awal yang diambil di tempat kejadian, sekurang-kurangnya dua lelaki keluar dari sebuah kereta sekitar jam 10.30 malam waktu tempatan berhampiran masjid dan melepaskan tembakan, menurut pendakwa raya.
“Daripada apa yang kita ketahui petang ini, masjid itu bukan sasarannya.
“Kenyataannya bahawa ia berlaku di jalan raya berdekatan bangunan keagamaan langsung tiada kaitan dengan keganasan,” menurut pendakwa raya.
Keterangan saksi menyebut empat lelaki di dalam kereta, kesemuanya memakai baju sejuk dengan hud.
Jabatan siasatan jenayah telah mengambil alih pendakwaan bagi kes tersebut.
Kejadian tembakan berlaku beberapa hari selepas seorang lelaki pada Khamis lepas cuba merempuh penganut di luar masjid Creteil di tenggara Paris dengan keretanya.
Pemandu tersebut, seorang rakyat Armenia berusia 43 tahun yang mengalami masalah skizofrenia, melanggar penghadang dan tiang di luar masjid dengan kenderaan pacuan empat roda tanpa menyebabkan sebarang kecederaan sebelum melanggar tiang trafik.
Menurut sumber siasatan, suspek melakukan kenyataan mengelirukan mengenai hubungan dengan rangkaian serangan pengganas di Perancis yang mengorbankan 239 nyawa sejak 2015.
Selepas serangan van terhadap penganut yang meninggalkan Masjid Taman Finsbury di London pada 19 Jun yang menyebabkan seorang terkorban dan 11 orang tercedera, komuniti Islam di Perancis turut merasakan terancam.
Sebahagian pegawai Islam menyatakan insiden di Paris sebagai satu serangan dan menyeru pihak berkuasa agar memperkukuhkan perlindungan di masjid.
Pesuruhjaya polis Paris menjelaskan arahannya bagi keadaan berjaga-jaga dalam melindungi tempat ibadat umat Islam. — AFP