Penggunaan kad kredit wanita M’sia meningkat 129 peratus
KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit oleh wanita Malaysia meningkat 129 peratus dalam tempoh lima tahun lepas, manakala bagi lelaki pula ia berkembang 71 peratus pada tempoh yang sama, demikian menurut United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.
Dalam kenyataan semalam, bank itu berkata wanita menggunakan kad kredit mereka untuk membayar keperluan utama seperti insurans, barangan keperluan harian dan utiliti, selain melancong dan belibelah gaya hidup.
Pengarah Urusan dan Ketua Negara bagi Perkhidmatan Kewangan Peribadi bank itu, Ronnie Lim berkata, peningkatan penggunaan kad kredit oleh wanita bagi produk serta perkhidmatan keperluan dan yang dibuat atas pertimbangan mereka, menunjukkan kapasiti pendapatan lebih besar dan keseimbangan keutamaan perbelanjaan wanita.
“Memandangkan lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja dan menikmati jaminan kewangan lebih baik, maka pendapatan boleh guna mereka juga turut meningkat.
“Sesuatu yang positif apabila melihat wanita Malaysia mengutamakan pembangunan peribadi masing-masing apabila mereka menggunakan pendapatan secara langsung bagi tujuan aktiviti mempertingkatkan kehidupan seperti melancong, menikmati makanan di luar dan fesyen,” katanya.
Pada 2016, pemegang kad wanita dan lelaki masingmasing membelanjakan 15 peratus dan 12 peratus lebih daripada tahun sebelumnya bagi produk berkaitan insurans. — Bernama