Semua komponen BN perlu bersatu demi Sarawak
Pemimpin politik perlu sedia berkompromi, sabar dan tidak mudah merajuk dalam parti: Abang Johari
KUCHING: Semua empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu bersatu dan bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negeri ini secara keseluruhan.
Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pemimpin politik perlu sedia berkompromi, sabar dan tidak mudah merajuk dalam parti masingmasing.
Mengambil contoh diri beliau sendiri, Abang Johari berkata beliau tidak mungkin dapat bertahan dalam politik sehingga hari ini tanpa pengorbanan.
“Saya mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam politik dan sepanjang tempoh itu, saya telah menempuhi pelbagai cabaran tetapi saya berjaya mengatasinya sehingga hari ini.
“Sebagai contoh, apabila Pehin Sri Taib memilih Datuk Patinggi Tan Sri Adenan sebagai penggantinya, saya sokong dan saya tidak merajuk meskipun saya adalah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada masa itu.
“Sekarang saya pula menggantikan Tok Nan, dan sebagai Ketua Menteri serta Pengerusi BN saya akan memastikan pasukan ini bekerja dengan baik.
“Pemimpin terdahulu telah membentuk asas kerajaan yang kukuh dan sekarang kita perlu menguruskan negeri ini dengan cara baharu daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi digital,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-58, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching di sini, baru-baru ini.
Tambah Abang Johari yang juga Presiden PBB, apabila PBB berhadapan masalah pada era Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, rakan-rakan dari SUPP tampil membantu.
Begitu juga sebaliknya, apabila SUPP berhadapan dengan masalah, PBB akan membantu menyelesaikannya secara baik di belakang tabir dengan semangat adik-beradik.
“Saya masih ingat ketika saya 11 tahun, mendiang Tan Sri Ong Kee Hui yang merupakan Presiden SUPP ketika itu berbincang dengan bapa saya mengenai Malaysia.
“Jika bapa saya dan pemimpin terdahulu SUPP boleh bekerjasama sebagai adik-beradik, maka kita sebagai pemimpin masa kini dalam PBB dan SUPP juga harus bekerja dengan semangat itu,” katanya.
Abang Johari turut memberitahu beliau ingin mengikut Deng Xiaoping, pemimpin dari China yang melopori pembaharuan ekonomi China kepada ekonomi yang paling pesat di dunia.
“Falsafah Deng Xiaoping, ‘Tidak kira kucing itu hitam atau putih, asalkan dapat menangkap tikus,’ maksudnya tidak kira siapa yang jadi Ketua Menteri asalkan dapat memajukan Sarawak dan saya mahu jadi Deng Xiaoping Sarawak.
“Tetapi untuk jadi seperti Deng Xiaoping Sarawak semua parti komponen BN iaitu SUPP, PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan juga Parti Demokratik Progresif (PDP) mesti bekerjasama untuk menjaga dan membangunkan sarawak ke arah negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Timbalan Presiden PBB, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian, Pengerusi SUPP Cawangan Kuching Datuk Lily Yong serta ahliahli SUPP yang lain.
“Sekarang saya pula menggantikan Tok Nan, dan sebagai Ketua Menteri serta Pengerusi BN saya akan memastikan pasukan ini bekerja dengan baik. DATUK AMAR ABANG JOHARI TUN OPENG Ketua Menteri