Terap amalan berkasih sayang, hindar aktiviti tidak sihat: Rohani
SRI AMAN: Masyarakat majmuk di negara ini digesa menerap amalan berkasih sayang serta saling menghormati dalam menghindari aktiviti buli, mengabai dan memukul anak serta melakukan keganasan rumah tangga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kementerian sentiasa mengambil berat terhadap kes kes sebegini yang semakin meningkat dan membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, kementerian meminda semula akta keganasan ini termasuk memasuk akta terhadap kes mencederakan suami, isteri serta anak, mentua, ipar dan sebagainya.
Beliau juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2017 Peringkat Parlimen Batang Lupar bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga bertempat di Dewan Suarah di sini petang Ahad.
Beliau menambah, akta ini dipinda bagi menghindari gejala keganasan melibatkan masyarakat kita yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
“Kementerian sentiasa mengamal amalan terbaik dalam masyarakat dan mengambil berat masalahmelanda masyarakat hari ini,” jelasnya.
Rohani menggesa masyarakat setempat agar sentiasa membantu kementerian menyalurkan maklumat berkenaan isu melibatkan hal keganasan keluarga dan sebagainya untuk ditangani segera.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lingga Simoi Peri, Timbalan Residen Pembangunan Bahagian Sri Aman Philip Peter Salam, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh serta ketua jabatan dan ketua masyarakat setempat lain.