Harapan Rakyat akan tanding 26 Kerusi DUN dan 11 Parlimen
BEAUFORT: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) sudah mengenalpasti sebanyak 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 11 kawasan Parlimen di seluruh Sabah untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Presidennya Datuk Seri Panglima Lajim Ukin berkata pihaknya juga kini masih mengadakan rundingan bersama rakan komponen dalam Gabungan Sabah (GS) sebelum dimuktamadkan menjelang PRU-14.
“Di pihak Harapan Rakyat, kita sudah mengenalpasti 26 atau 28 kerusi DUN dan mungkin 11 atau 12 kerusi pada kerusi Parlimen di Sabah, namun ini semua tertakluk kepada perundingan bersama rakan dalam GS.
“Sudah pasti, rakan dalam GS juga sedang mengenalpasti kawasan berpotensi untuk bertanding dan rundingan masih dijalankan sebelum dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2017 di kediamannya di Kampung Kaundo, Ahad lalu.
Lajim yang juga Adun Klias berkata GS juga sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan atau perbincangan bersama parti politik tempatan yang lain bagi menjalin kerjasama menghadapi PRU14.
“Buat masa ini, kita di GS belum ada mempunyai hubungan yang rasmi dengan parti politik tempatan yang lain khususnya pembangkang di Sabah bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU nanti.
“Sepertimana yang pernah dikatakan oleh pengerusi GS sebelum ini, gabungan kita masih terbuka untuk mana-mana parti tempatan mengadakan perbincangan dan menjalin kerjasama,” katanya.
Menurutnya kerjasama yang diadakan adalah bagi memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama dapat dibela dengan sebaiknya.
Terdahulu, Lajim berkata majlis rumah terbuka yang diadakan setiap tahun itu mampu mengeratkan silaturahim antara kaum pelbagai agama di Sabah.
“Saya merakamkan penghargaan buat semua rakyat khususnya di kawasan DUN Klias, Kuala Penyu, Lumadan dan mereka yang datang dari jauh untuk bersama kami memeriahkan majlis rumah terbuka ini.
“Sambutan pada tahun ini dilihat lebih meriah berbanding tahun sebelumnya dan ini menunjukkan rakyat sudah matang dalam menentukan kerajaan pada PRU akan datang,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi GS Datuk Mohd Noor Mansor, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) Datu Mohd Arshad Mualaf.
Pada majlis itu, Lajim turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.