`Harap pucuk pimpinan pertimbang’
Cadangan 20 calon wanita BN bertanding dalam PRU-14
“Tidak dapat dinafikan bahawa selama ini, Wanita BN sentiasa turun padang untuk membantu menjaga kebajikan rakyat serta mengenali mereka dengan lebih dekat. Justeru, pemilihan wanita sebagai Ahli Parlimen atau Adun pada PRU-14 adalah tepat. DATUK HAMISA SAMAT Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat
KOTA KINABALU: Kepimpinan Barisan Nasional (BN) negeri dan Pusat wajar memberi pertimbangan serius berhubung cadangan kira-kira 20 calon Wanita BN Sabah yang dikemukakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU-14).
Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata perkara itu wajar diberi pertimbangan serius memandangkan nama Wanita BN negeri yang dikemukakan itu sudah pasti terdiri daripada calon berpotensi, boleh menang dan berwibawa.
Menurutnya penyenaraian calon wanita itu juga menunjukkan pucuk pimpinan negeri mengiktiraf peranan golongan itu untuk sama-sama terlibat dalam pembuatan dasar dan keputusan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa selama ini, Wanita BN sentiasa turun padang untuk membantu menjaga kebajikan rakyat serta mengenali mereka dengan lebih dekat. Justeru, pemilihan wanita sebagai Ahli Parlimen atau Adun pada PRU-14 adalah tepat.
“Saya mengalu-alukan kenyataan Pengerusi Wanita BN Sabah Datuk Armani Mahiruddin dan berharap pucuk pimpinan di peringkat negeri serta Pusat mengambil pertimbangan serius mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Baru-baru ini, Armani menyatakan beliau telah mengemukakan senarai 20 calon Wanita BN terdiri daripada muka lama dan baharu untuk bertanding dalam PRU-14 kepada Pengerusi Wanita BN Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Semua calon itu mempunyai kewibawaan dan beliau yakin potensi mereka untuk dipertimbangkan sebagai calon oleh pucuk pimpinan.
Hamisa berkata cadangan 20 nama sebagai calon Wanita BN negeri itu turut menunjukkan Sabah mempunyai pemimpin wanita yang berkebolehan untuk diketengahkan.