HDC jangka pertumbuhan eksport halal 5-6 peratus
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menjangka eksport produk halal berkembang antara lima peratus dan enam peratus tahun ini daripada RM42 bilion yang dicatatkan tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin.
Beliau berkata ini akan disokong oleh permintaan tinggi terhadap produk halal tempatan, terutamanya dalam separuh kedua 2017, disebabkan peningkatan ekonomi global.
“Dari segi trend eksport pada enam bulan pertama tahun ini kebiasaannya akan sedikit perlahan tetapi akan meningkat pada akhir tahun, dan saya yakin kita mampu capai sasaran tersebut,” katanya kepada Bernama.
Eksport produk halal Malaysia berjumlah RM39 bilion pada 2015.
Jamil berkata beliau melihat pembangunan industri halal negara telah berkembang bukan hanya dari segi angka eksport atau bilangan pelaburan, tetapi juga menerusi penggunaan pakai industri 4.0 atau automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan.
Dalam hal ini, katanya HDC akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menghasilkan inovasi baharu yang akan memberi manfaat kepada industri.
“Kita melihat banyak potensi, terutamanya dalam segmen ramuan halal yang masih lagi berada di tahap awal... dan kita juga melihat keperluan untuk meningkatkan bilangan pakar dalam segmen ini,” katanya.
Jamil memberi contoh satu pembangunan dalam segmen farmaseutikal, yang mana sebuah syarikat Arab Saudi telah bersetuju untuk melabur sebanyak RM500 juta membangunkan kemudahan vaksin di Bandar Enstek di Negeri Sembilan.
“Syarikat itu ketika ini sedang mengusahakan tiga vaksin dan pada masa yang sama, ia juga mengambil alih kemudahan vaksin di Denmark yang menghasilkan vaksin poliovirus. Syarikat itu merancang menjadikannya vaksin halal dan memasarkannya di sini,” katanya.
Sejak penubuhannya pada 2006, HDC telah menjadi tumpuan utama untuk menyelaraskan dan memudahkan keseluruhan pembangunan dan penggalakan industri halal di Malaysia secara kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk mentransformasikan dengan lebih meluas landskap halal. — Bernama