JPHPT tambah kekuatan anggota, pertingkat pemeriksaan kemasukan haiwan
KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT) mula menambah bilangan kakitangan untuk ditempatkan di pintu masuk utama negeri bagi mempertingkat pemeriksaan kemasukan haiwan di sempadan Sabah-Sarawak.
Pengarah JPHPT Dr Yeo Boon Kiat berkata kekuatan anggota ditambah bagi memastikan pemeriksaan dilakukan terhadap semua kenderaan yang tiba di Sindumin dari Sarawak.
Katanya JPHPT bertindak lebih tegas memeriksa dan membuka bonet semua kenderaan yang memasuki sempadan negeri ini sama ada melalui Sindumin mahupun Menumbok.
“Kita bukan hanya menambah kakitangan di Sindumin tetapi juga di Menumbok. Kita mengambil pendekatan berwaspada supaya haiwan yang dibawa masuk melalui perairan negeri turut diperiksa.
“Kita mengerahkan anggota jabatan untuk melakukan pemeriksaan secara shift sehingga 10 malam,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Bagaimanapun, sejak larangan kemasukan haiwan dari Sarawak dikeluarkan sehingga kini, jabatan itu tidak menerima sebarang kes yang mencurigakan.
Biarpun begitu, katanya, langkah berwaspada tetap diambil untuk memperketatkan kawalan pemeriksaan di sempadan negeri.
Yeo berkata demikian bagi mengulas langkah penguatkuasaan dilakukan di sempadan Sabah-Sarawak berikutan kes jangkitan virus
rabies terhadap tiga kes kanakkanak di Serian, Sarawak pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin pada Sabtu mengesahkan tiada jangkitan virus rabies dilaporkan di Sabah.
Berikutan insiden jangkitan virus rabies terhadap tiga manusia di Sarawak, beliau dipetik berkata arahan sudah diberikan kepada JPHPT supaya melakukan pemeriksaan dan pemantauan di sempadan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kemasukan haiwan hidup dari Sarawak.
Malah semua lesen dikeluarkan JPHPT untuk mengimport anjing dan kucing dari Sarawak juga dibatalkan. Kemasukan haiwan hidup dari Sarawak juga dilarang.