Penghuni TSPKK dalami isu kewanitaan
KOTAK INA BALU: Program Kembara Diri beri peluang kepada penghuni Taman Seri Puteri Kota Kinabalu (TSPKK) mendalami isu berkait kewanitaan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata program seumpama itu turut memberi kesedaran serta motivasi yang baik.
Katanya dengan mengikuti program Kembara Diri, para penghuni TSPKK lebih memahami isu-isu fiqh wanita terutama dalam soal haid dan istihadah.
“Di samping itu, ia memberi kesedaran kepada penghuni TSPKK akan cabaran yang mereka bakal tempuhi apabila keluar nanti.
“Pada masa sama, ia juga mendorong mereka untuk berusaha memotivasikan diri sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di sini, kelmarin.
Beliau turut berharap program itu dapat memberi inspirasi baharu dalam diri penghuni dan ilmu yang diperolehi sedikit sebanyak boleh disebarkan kepada rakan mereka yang lain.
Pada bulan Ramadan lepas, TSPKK bersama Felo Muda Dakwah mengadakan program Perkampungan Semarak Ramadan.
Ia sebagai salah satu usaha sepanjang 10 malam terakhir bulan Ramadan yang diadakan bermula 16 hingga 21 Jun 2017.
Pengisian keagamaan dan perkongsian emosi dilaksanakan sepanjang program berkenaan berlangsung.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) Zon Sabah Samin Ongki dan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Am Sabah Dayang Rogayah Awang Besar.