Utusan Borneo (Sabah)

Selangor nafi naik kadar tol penternak ikan sangkar

-

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menafikan dakwaan ia menaikkan kadar Lesen Pendudukan Sementara (Tol) antara RM60,000 hingga RM100,000 setahun ke atas penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang.

Exco Infrastruk­tur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata beban bayaran tol pada kadar RM2 bagi satu kaki persegi seperti dilapor sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 23 Jun lalu dilihat sebagai tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata jumlah sebenar kadar bayaran Tol seperti yang dipersetuj­ui kerajaan negeri pada 27 April lepas adalah 40 sen bagi satu meter persegi setahun berbanding kadar nilaian yang diberikan Jabatan Penilaian dan Perkhidmat­an Harta (JPPH) iaitu RM4 semeter persegi setahun.

“Kadar Tol penternak ikan dalam sangkar di Selangor adalah yang terendah berbanding negeri lain seperti Pulau Pinang yang sebanyak 45 sen semeter persegi, Perak (60 sen semeter persegi) dan Johor (50 sen semeter persegi).

“Anggaran keluasan kawasan setiap penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam pula adalah maksimum 20,000 meter persegi manakala keluasan minimum pula sekitar 500 meter persegi,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Menurut Zaidy, bagi keluasan maksimum 20,000 meter persegi dengan kadar bayaran tol 40 sen satu meter persegi setahun, hanya RM8,000 dikenakan ke atas penternak ikan dalam sangkar. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia