Utusan Borneo (Sabah)

Anjing dijangkiti rabies digelar anjing zombie

-

SERIAN:Haiwan peliharaan diberi makan dan minum untuk menjaga rumah berubah menjadi musuh pemiliknya sendiri.

Seorang penduduk Kampung Paon Sungai Rimu, Leman Diot, 42, ketika ditemui berkata penduduk kampung menggelar anjing yang dijangkiti wabak virus rabies sebagai anjing zombie.

“Kami gelar ia anjing zombie kerana satu kali pukul ia tidak mati, boleh tahan sampai dua tiga kali pukul. Kena pukul betul-betul di kepala baharu mati.

“Saya sendiri pernah menyaksika­n kawan-kawan pukul tiga kali sebelum ini dan yang terakhir adalah pada 5 Jun lepas.

“Tidak boleh alang-alang pakai kayu untuk pukul, mesti yang betul-betul keras dan panjang melebihi satu meter setengah, kalau tidak kita akan diserang balik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Ditanya adakah penduduk kampung takut untuk keluar dari rumah selepas dua anak kecil dari kampung itu dijangkiti virus rabies barubaru ini, jawabnya tidak sama sekali.

Rata-rata penduduk kampung itu dan kampung berdekatan yang bekerja sebagai petani dan bekerja sendiri termasuk anak-anak sekolah sering kelihatan berjalan kaki.

Leman menambah, banyak anjing peliharaan penduduk kampung yang dikhuatiri mempunyai virus rabies dibunuh dan dikuburkan.

Pada dasarnya, tujuan penduduk kampung dan kawasan sekitar memelihara anjing adalah kerana takut rumah mereka dirompak dan hasil pertanian dicuri.

“Beberapa buah rumah kena geledah dan pencuri mudah masuk kerana tidak memelihara anjing.

“Pada 2015 seluruh ahli keluarga dalam satu rumah diikat perompak di kampung ini dan diambil emas, kereta dan wang ringgit mereka.

“Kebiasaan kalau ada anjing, ia akan menyalak baharu kita awas, biasanya anjing kampung mana ada diikat, yang kita tahu pagi kita bagi makan, malam kita bagi makan… kalau kita jalan pergi kebun dia ikut,” jelasnya.

Bagaimanap­un, dia terdengar desas-desus bahawa anjing kampung mereka terkena gigitan anjing yang dijangkiti virus itu dari sebuah kawasan perladanga­n sawit yang terletak tidak jauh dari kampung itu.

Katanya, kawasan perladanga­n sawit itu terletak dalam lingkungan 10 kilometer dari kampung mereka dan berdekatan dengan sempadan negara.

“Kelakuan anjing gila, ekor dia akan sentiasa masuk dan semasa berjalan air liur akan meleleh dan berbuih.

“Kalau kita lempar batu, ia akan menggigit, begitu juga kalau dibaling kayu juga akan digigit kemudian ia tidak akan tengok kiri kanan lagi...

“Jika ia berjalan maka memang teruslah ia, kemudian akan mengejar ekornya sendiri dengan berpusing-pusing, mulut ternganga dan berbuih dengan lidah terkeluar.

“Kelmarin doktor dari Petra Jaya ada memberi taklimat dan menyuruh kami membunuh sahaja binatang yang disyaki mempunyai virus terbabit dan menelefon pihak veterinar untuk mendapatka­n sampel tisu bagi siasatan,” jelasnya.

Wabak rabies bagaimanap­un tidak akan merebak melalui perkongsia­n makanan tetapi melalui air liur dan cakaran binatang itu terus ke kulit dan menyerang sistem saraf.

Penduduk kampung di kawasan itu hanya mempunyai akses ke Klinik Kesihatan Balai Ringin yang terletak 20 kilometer jaraknya dari kampung.

Sementara itu, pihak 10 pasukan di bawah Jabatan Kesihatan Kota Samarahan telah ke Kampung Paon Gahat dan beberapa kampung lain dalam lingkungan lima kilometer dari kawasan wabak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia