Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan akan beli vaksin rabies untuk kegunaan manusia bernilai AS$100,000

-

KUCHING: Kerajaan negeri akan membeli vaksin rabies untuk kegunaan manusia bernilai AS$100,000 sebagai langkah membantu Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menangani wabak penyakit anjing gila di Serian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, JKN juga sedang bekerjasam­a rapat dengan Jabatan Perkhidmat­an Veterinar bagi memastikan jangkitan virus rabies di kalangan manusia dapat dicegah dan tidak ada penularan berlaku di luar kawasan terjejas.

“Pada masa sama, program pendidikan kesihatan berkaitan rabies dan langkah pencegahan telah dijalankan bagi penduduk kampungkam­pung terjejas, sama ada menerusi ceramah awam atau secara individu semasa aktiviti pengesanan kes.

“Kerajaan Negeri Sarawak akan membeli dengan segera vaksin rabies kegunaan manusia bernilai AS$100,000 sebagai membantu JKN,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.

Pada 29 Jun lalu, JKN menerima makluman tiga kes disyaki rabies dari daerah Serian dan ia disahkan positif pada keesokan harinya.

Setakat jam 3 petang Ahad lepas, tidak ada kes jangkitan rabies terbaharu dicatatkan dan angka kes kekal pada jumlah tiga seperti dilaporkan sebelum ini.

Dr Sim, selaku menteri bertanggun­gjawab ke atas JKN memberitah­u, sebanyak 34 kes gigitan anjing dicatatkan di daerah Serian sejak 1 April hingga 2 Julai.

Dalam tempoh 29 Jun hingga 2 Julai katanya, JKN memantau aktif kes-kes di Kampung Paon, Sungai Rimu; Kampung Lebor, Jalan Gedong; Kampung Remun, Jalan Gedong dan Kampung Krait.

“Sebanyak lapan pasukan kesihatan masih dalam proses mengesan kes gigitan anjing dari rumah ke rumah,” katanya.

Rabies merupakan satu jenis penyakit berpunca daripada Lyssavirus daripada haiwan seperti anjing yang dijangkiti virus rabies.

Virus itu disebarkan menerusi luka gigitan anjing, luka terkena air liur, cecair badan atau tisu daripada haiwan kepada manusia.

Tempoh pengeraman adalah tiga minggu hingga tiga bulan daripada gigitan haiwan sehingga gejala seperti demam, sakit badan, sakit kepala, takut kepada air (hidrofobia), lumpuh dan koma dan jika tanda-tanda itu muncul, hampir semua pesakit rabies boleh mati.

JKN Sarawak turut menasihati penduduk di daerah Serian khususnya di kawasan terjejas yang positif rabies agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelak daripada jangkitan itu.

“Jauhkan diri daripada haiwan liar bagi mengurangk­an risiko terkena gigitan khususnya kanak-kanak.

“Sekiranya anda terkena gigitan anjing, pastikan luka dicuci dengan air yang banyak dan sabun dengan segera serta dapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat secepat mungkin,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia