Bekas anggota tentera digalak sertai PVATM
TENOM: Bekas anggota tentera dan yang belum bersara dari daerah ini digalakkan mendaftar sebagai ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kemabong dan Tenom untuk memudahkan sebarang bantuan kerajaan disampaikan kepada mereka.
Ketua Cawangan PVATM Kemabong Unggi Malinau berkata kerajaan telah menyediakan beberapa bantuan kebajikan kepada bekas tentera yang mengalami sebarang masalah seperti sakit, bantuan pendidikan, bantuan bencana alam dan sebagainya.
“Selain itu, kerajaan ada menyediakan bantuan secara ‘one-off’ kepada pesara atau veteran tentera yang layak dan berdaftar.
“Bukan itu sahaja, pihak kerajaan dari semasa ke semasa akan terus memberi bantuan yang sewajarnya kepada pesara tentera yang telah berdaftar dengan persatuan.
“Ini dilakukan bagi membela nasib golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah menyumbang bakti dan melakukan pengorbanan besar untuk negara,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Beliau turut memberitahu bahawa PVATM memainkan peranan yang penting untuk membantu tentera yang telah menamatkan perkhidmatan mereka.
Sementara itu, Libar Taliun, 62, seorang pesara tentera dari Kg Bangkulin yang sakit telah dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) melahirkan rasa terharu kerana mendapat perhatian dan bantuan daripada kerajaan.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan kewangan dan beberapa bantuan lain dalam membela nasib pesara tentera,” katanya.
Untuk sebarang urusan pendaftaran, bolehlah berhubung dengan Setiausaha PVATM Kemabong Lukiam Gambir bagi Cawangan PVATM Kemabong.