Pak Ngah tekad hidupkan kembali tarian terinai
PAK Ngah, 56, tekad untuk ‘menghidupkan’ kembali tarian terinai atau juga dikenali sebagai tarian piring di Negeri Sembilan, bagi mengelak seni tradisi itu terus lupus ditelan arus kemodenan.
Tarian terinai yang dahulunya sering dipersembahkan pada majlis-majlis perkahwinan di negeri ini, kini dilihat semakin dilupakan dan menjauh daripada kalangan masyarakat.
Justeru, Pak Ngah atau nama sebenarnya Razi Mahat, mengambil inisiatif dengan giat mengadakan persembahan tarian itu bersama kumpulannya, Kumpulan Dikir Seri Murni Astana Raja, pada majlismajlis perkahwinan serta majlis keramaian oleh orang kenamaan.
“Saya mula ceburkan diri dalam tarian terinai sejak sekolah, selepas habis sekolah, saya masuk tentera laut, merantau dan meninggalkan tarian terinai selama 15 tahun.
“Disebabkan minat yang terlalu dalam, selepas pencen saya balik ke kampung dan masuk semula ke dalam kumpulan ini dan kembali bergiat aktif dengan mengadakan persembahan termasuk melatih pelapis baharu,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata tarian terinai mempunyai keunikannya tersendiri apabila ia menggabungkan unsur ‘lucu’ ketika persembahan dengan ‘mengusik’ pasangan pengantin yang sedang bersanding di singgahsana melalui lenggok tari si penari.
Menggunakan alatan iaitu piring jernih bersaiz tapak tangan dan cincin yang diperbuat daripada timah atau besi dawai kasar yang disarung pada pangkal jari telunjuk kiri dan kanan untuk membolehkan ketukan dibuat seterusnya menghasilkan bunyi atau rentak, katanya.
“Kebiasaannya dalam setiap persembahan kita peruntukkan lima penari untuk buat persembahan tetapi biasanya hanya tiga orang yang akan mengadakan persembahan untuk majlis kahwin orang biasa, dan lima penari untuk majlis orang kenamaan.
“Persembahan dimulakan dengan sembah raja dari kanan ke kiri, sembah hadapan kemudian baru tarian yang diiringi jenis bunyi antaranya jenis meningkah ditarikan. Lenggok tarian kita juga bergantung kepada ‘mood’ pengantin, jika mereka kelihatan muram kita buat lenggok tari yang boleh membuatkan mereka terhibur,” katanya.
Beliau berkata kumpulannya itu yang kini dianggotai kira-kira 18 orang dengan majoritinya terdiri daripada anak muda telah mengadakan persembahan sehingga ke Melaka, Pahang, Johor, Putrajaya dan Kuala Lumpur termasuk di hadapan orang kenamaan antaranya Sultan Pahang dan Pemangku Sultan Pahang.
Pak Ngah berkata meskipun permintaan untuk mengadakan persembahan tidak pernah putus, namun aktiviti melatih golongan muda untuk dijadikan pelapis juga sedang giat dijalankan.
“Masalah hari ini bukan susah untuk latih golongan belia ini, cuma yang jadi cabaran apabila lirik yang perlu mereka pelajari adalah dalam tulisan jawi, jadi saya fikir untuk memudahkan mereka, sedikit demi sedikit saya rumikan tulisan jawi itu.
“Tetapi latihan yang lebih kerap diperlukan memandangkan bacaan jawi dan rumi menghasilkan intonasi berbeza. Paling muda yang kita latih ketika ini dua pelajar berusia 18 tahun yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi,” katanya. — Bernama