Utusan Borneo (Sabah)

Pihak berkuasa tempatan digesa atasi masalah kehadiran anjing liar

-

SIBU: Pihak berkuasa tempatan di Sarawak telah digesa bertindak terhadap anjing liar yang berkeliara­n di kawasan di bawah bidang kuasa masing-masing.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr. Annuar Rapaee berkata ini untuk mengelakka­n berlakunya insiden orang awam diserang oleh anjing liar.

Annuar yang berinterak­si dengan orang ramai dalam laman Facebook DUN Nangka pada Rabu bersetuju dengan gesaan bagi usaha bersepadu dijalankan bagi mengatasi masalah kehadiran anjing liar terutama di kawasan perumahan.

Susulan kes rabies atau penyait anjing gila di Serian, yang meragut nyawa dua beradik, netizen melahirkan kebimbanga­n mengenai bahaya mereka dan anak mereka diserang oleh anjing liar.

Beliau juga menggesa orang ramai memainkan peranan dalam menjaga kawasan kediaman merekan dan memastikan kawasan mereka bebas daripada sisa makanan.

Annuar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka juga berkata pada masa ini, jumlah tertinggi insiden diserang anjing berlaku di Sibu tetapi beliau tidak menyebut apa-apa angka berkaitan perkara itu.

Beliau berkata suntikan vaksin ke atas kucing dan anjing telah dijalankan di kawasan dalam lingkungan 10 kilometer dari kawasan sifar kes rabies iaitu Kampung Paon, Sungai Rimu Bakung di Serian.

Hanya mereka yang digigit oleh kucing atau anjing yang disyaki membawa virus itu akan diberi suntikan vaksin manakala usaha sedang dijalankan bagi mencegah penyakit itu daripada merebak ke tempat lain.

Netizen juga berkongsi maklumat dengan Annuar mengenai kawasan di Sibu yang mempunyai banyak anjing liar seperti di kawasan perumahan Jalan Permai, Desa Satria, Kampung Datu Baru, Jalan Bandung, Bukit Lima Park, dan Taman Jubli Sibu. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia