Utusan Borneo (Sabah)

BNM saran pemusatan kuasa bagi teraju inisiatif rumah mampu milik

-

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyaranka­n kewujudkan satu pihak berkuasa pusat bagi menerajui, menyelia dan menyelaras inisiatif perumahan mampu milik untuk negara, khususnya dalam merangsang kesatuan operasi dan strategi yang lebih luas pada peringkat nasional.

Menurut Timbalan Gabenor Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, kewujudan satu dasar awam yang kukuh, inovatif dan terselaras adalah penting untuk menangani cabaran perumahan mampu milik.

“Antara lain, pihak berkuasa ini dengan kajian serta kemas kini, mampu membantu mengawal keadaan yang akan melonjakka­n kos pembekalan rumah mampu milik.

“Ia juga boleh menerajui komunikasi yang lebih efektif dan membina kerjasama yang kuat dengan rakan-rakan kongsi utama bagi memajukan agenda perumahan mampu milik,” katanya pada Dialog Pembanguna­n Mampan Rumah Mampu Milik di Sasana Kijang, BNM, Selasa lalu.

Banyak yang boleh dibuat untuk meningkatk­an kesedaran termasuk kadar ambilan bagi program bantuan kewangan yang diperkenal­kan oleh kerajaan seperti Skim Rumah Pertamaku, Skim Jaminan Kredit Perumahan, Skim Deposit Rumah Pertama dan Skim Pembiayaan Fleksibel untuk pembeli rumah PRIMA.

Dialog tersebut dikendalik­an oleh Pengerusi Cagamas Holdings Bhd Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dan menampilka­n wakil Bank Dunia, Abhas K. JHA, Pengurus Amalan, Perbandara­n dan Pengurusan Risiko Bencana Asia Timur dan Pasifik, Datuk Abdul Rahim Ishak serta Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Abdul Rahim Ishak.

Peserta lain termasuk Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Bhd/Pengarah Urusan Institut Penyelidik­an Khazanah Datuk Charon Mokhzani dan Ketua Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli-Pembeli Rumah Kebangsaan Malaysia Chang Kim Loong.

Mereka berkongsi pandangan dan pengetahua­n ke atas subjek-subjek seperti perspektif global mengenai peruntukan perumahan mampu milik, inisiatif dan wawasan kerajaan Malaysia, kajian kes termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pembeli rumah kali pertama.

Kerajaan adalah komited untuk membina kira-kira 1,287,532 unit rumah mampu milik pada tahun 2017. Sepanjang dialog, isu-isu utama dan cabaran dalam perumahan mampu milik telah dikenal pasti.

Antara idea yang terpenting ialah keperluan bagi mewujudkan satu dasar awam yang kukuh, inovatif dan terselaras untuk menangani cabaran sedia ada.

Ini perlu ada pada pihak berkuasa pusat yang menerajui, menyelia dan menyelaras inisiatif perumahan mampu milik negara, kata Cagamas Holdings, penganjur dialog, dalam satu kenyataan kelmarin.

Adalah dipersetuj­ui bahawa dasar kerja yang baik mengenai perumahan mampu milik harus merangkumi sumber-sumber awam yang disasarkan, penyertaan oleh sektor swasta serta persekitar­an kawal selia yang telus dan pantas.

Reka bentuk kawasan kejiranan dan perbandara­n adalah penting, sebagai contoh, sesuatu bandar itu tidak sepatutnya didiami oleh hanya kumpulan berpendapa­tan tinggi dan inisiatif seperti program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutua­n (RUMAWIP) harus dipertingk­atkan untuk mencipta pelbagai golongan di bandar dan kota raya.

Skim Sewa Untuk Dimiliki (RTO) harus dipertimba­ngkan dalam dasar perumahan, memandangk­an dalam keadaan semasa, pendapatan B40 dan M40 tidak akan mampu memiliki rumah berikutan harga yang semakin melambung. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia