Ibu tunggal rayu anak dipulangkan keluarga bekas suami
GEORGE TOWN: Seorang ibu tunggal yang mendakwa anak lelakinya dilarikan keluarga bekas suami sejak hampir seminggu lepas, merayu agar kanak-kanak itu dipulangkan segera kepadanya kerana khuatir kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini.
Balqis Nordin, 26, berkata selepas bercerai dengan bekas suami, Mahazir Ismail, 35, pada Jun tahun lepas, mahkamah telah memberikan hak penjagaan anak tunggal mereka Benyamin Rafael, 6, kepadanya.
“Keluarga bekas suami diberi hak lawatan setiap minggu bermula Jumaat pukul 8 malam hingga Ahad pukul 8 malam, namun anak saya tidak dipulangkan sejak Ahad lepas dan laporan polis dibuat pada hari sama kerana mereka melanggar perintah mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.
Balqisberkatamerekasekeluargayang tinggal di Bukit Gedung, Bayan Baru dekat sini, sangat risaukan keselamatan anak lelakinya memandangkan kanakkanak itu pernah dicederakan bekas suami yang juga seorang penagih dadah tegar.
“Anak saya pernah dicederakan di leher menggunakan pisau dan kecederaan itu disahkan doktor yang merawatnya dan laporan polis mengenainya juga telah dibuat pada 29 Okt tahun lepas,” katanya.
Balqis berkata beliau dan keluarganya juga cuba mencari anaknya di rumah keluarga bekas mentuanya di Taman Lip Sin, Sungai Nibong dekat sini, namun tidak dibenarkan masuk ke rumah dan diberitahu anaknya telah dijemput bekas suami.
“Saya kemudian menghubungi bekas suami, tapi dia menafikan telah mengambil anak kami dan memberitahu Rafael berada bersama ibu bapanya,” katanya.
Pemiliksalonkecantikanitukemudian cuba mendapatkan penjelasan daripada bekas bapa mentuanya dan kecewa apabila setiap persoalan tidak dijawab dan buntu memikirkan keselamatan anaknya.
Sementara itu, bekas bapa mentua Balqis yang dikenali sebagai Ismail ketika dihubungi menafikan dakwaan dia telah melarikan cucunya dan enggan mengulas lanjut pertanyaan wartawan.Bernama