DATUK HAJI ILIYAS HAJI IBRAHIM
dilahirkan di Kampung Pimping Membakut pada 11 September 1948. Anak sulung dari sembilan adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Mempagar Beaufort sebelum meneruskan pelajaran di peringkat menengah di Goverment Secondary School (GSS) Keningau, yang kemudiannya dikenali sebagai SMK Gunsanad, hingga lulus Senior Cambridge.
Selepas itu, beliau bekerja sebagai kerani di Balai Polis Kota Kinabalu sebelum berpindah sebagai pegawai polis di Lembaga Pelabuhan Sabah (LPS) dari tahun 1968-1970. Beliau kemudian bernasib baik kerana diterima sebagai Inspektor Percubaan dan menjalani kursus di Kolej Polis Kuala Kubu Baru pada 1971. Sebaik tamat latihan, beliau ditugaskan sebagai SB (Special Branch) di Sandakan, kemudian dilantik sebagai SB di Kinabatangan sebelum bertugas di bahagian Perkhidmatan Am.
Pada 1 Jun 1977, beliau ditempatkan di Sandakan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah dan kira-kira satu tahun kemudian, iaitu 1 April 1978,dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sandakan. Pada 2 April 1983, beliau dipindahkan ke Tawau sebagai Ketua Polis Daerah (OCPD) hingga 2 Julai 1987 apabila beliau mengikuti kursus sembilan bulan di Bukit Aman,Kuala Lumpur.
Sebaik menamatkan Kursus Diploma Sains Kepolisan, Iliyas ditukarkan semula ke Sandakan sebagai Ketua Polis Daerah Sandakan dari 30 April 1988 hingga 5 Jun 1989. Iliyas kemudian dilantik Ketua Polis Bahagian Sandakan hingga 4 Disember 1992.
Pada 5 Disember, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Memerintah Batalion 7 PGA Sandakan hingga 18 April 1994. Selepas itu, beliau berpindah ke Gombak Kuala Lumpur sebagai Ketua Polis pada 19 April 1994 hingga ditukarkan semula ke Sabah pada 14 Februari 1997 sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Balai Polis Karamunsing.
Pada 16 Mac 2001, beliau dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan kemudian menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah pada 5 Januari 2004 sehinggalah bersara pada 11 September 2004 setelah berada selama 35 tahun dalam perkhidmatan polis.
Kemudian Iliyas dilantik sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selama tiga penggal bermula 2 Februari 2005 hingga 1 Februari 2011.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan Datin Naimah Haji Hassan pada tahun 1973 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Radzdiyanna, Syabrenna,Muhd Naziff dan Lydianna.