Utusan Borneo (Sabah)

Tengkorak remaja perempuan pecah dalam kejadian samun di Kajang

-

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pecah bahagian tengkorak dipercayai dipukul dalam satu kejadian samun di rumahnya di Kampung Masjid, Kajang dekat sini, pada Jumaat.

Mangsa, Syazana Amirah Asshaari ditemui oleh ibunya Siti Rafiah Mansor, 48, dalam keadaan terbaring di atas katil dengan keadaan berlumuran darah serta kecederaan di kepala, dagu dan mulut, kira-kira 11.15 pagi.

Siti Rafiah berkata beliau keluar bekerja awal pagi dengan mengambil upah mengemas rumah dan pulang ke rumah pada 11 pagi sebelum melihat keadaan anak bongsunya yang tidak sedarkan diri di dalam bilik.

“Saya terus minta tolong jiran untuk menghubung­i ambulans untuk menghantar anak ke hospital, “katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada Sabtu.

Katanya, ketika kejadian anak bongsu daripada lima beradik itu tinggal seorang diri di rumah memandangk­an yang lain keluar bekerja.

Siti Rafiah berkata anaknya kini sedang mendapatka­n rawatan di unit rawatan rapi HKL dan berada dalam keadaan kritikal.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan dalam satu kenyataan berkata pemeriksaa­n mendapati tengkorak kepala mangsa di sebelah kiri dan kanan pecah dipercayai dipukul dengan objek tumpul dan tajam.

“Selain itu, ibu mangsa mendapati dua buah telefon bimbit serta dompet milik mangsa telah hilang,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangk­an kecederaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta memaklumka­n kepada polis atau boleh menghubung­i pegawai penyiasat Insp Zazali Kenek di talian telefon 0197100662.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia