Korban banjir Jepun meningkat
TOKYO: Jumlah kematian akibat hujan lebat dan banjir di selatan Jepun sudah meningkat kepada 15, media melaporkan semalam, manakala penyelamat terus berusaha untuk mengeluarkan mangsa selamat yang terpencil.
Sungai deras yang melimpah dengan air dan lumpur memusnahkan beberapa kawasan di Kyushu – pulau paling selatan di antara empat pulau utama Jepun – selepas hujan lebat, merosakkan jalan dan rumah selain memusnahkan sekolah.
Ribuan penyelamat menempuh lumpur tebal dan hujan untuk mencari mangsa yang hilang dan terkandas, dan lebih 600 orang dipercayai masih terputus hubungan, menurut Jiji Press.
Jiji dan badan penyiaran awam NHK melaporkan bilangan kematian sudah meningkat kepada 15 selepas mayat lain ditemui.
Kerajaan pusat kelmarin mengumumkan tujuh kematian rasmi manakala 22 tidak dapat dikesan.
Lumpur tebal dan tanah basah di lereng bukit curam menghambat usaha menyelamat.
Rakaman TV menunjukkan penyelamat mengikat orang pada kabel untuk ditarik ke atas helikopter dan dibawa ke pusat pemindahan. Rakaman TV dari udara kelmarin menunjukkan penduduk di sebuah kawasan terpencil menggunakan pokok tumbang untuk mengeja ‘SOS’ bagi menarik perhatian penyelamat.
Pokok tumbang menghempap rumah di bandar Asakura dalam daerah Fukuoka yang terjejas teruk, dan menyaksikan hujan selebat 50 sentimeter turun dalam tempoh 12 jam hingga malam kelmarin.
“Ibu bapa saya masih terperangkap dengan 16 orang lain dalam kawasan Kurogawa dan saya sama sekali tiada maklumat mengenai situasi di sana,” kata penduduk Asakura, Kayoko Ishibashi, kepada AFP kelmarin, yang merujuk kepada sebuah kawasan dalam bandar itu.
“Jadi saya dapat menunggu di sini dengan harapan mereka akan diselamatkan dengan helikopter,” tambahnya.
Kerajaan mengerah 12,000 anggota polis, tentera, bomba dan pengawal pantai untuk operasi menyelamat.
Agensi Kerabat Maharaja Jepun berkata mengambil kira wilayah yang dilanda bencana itu, cucunda sulung Maharaja Akihito, Puteri Mako dan tunangya memutuskan untuk menangguhkan pengumuman rasmi mengenai pertunangan mereka semalam.