Utusan Borneo (Sabah)

Puisi Minggu Ini

-

TERBANGLAH

Usah kau cari senyum bidadari malam dan kemudian bagai sesungguh kudrat kau kuak awan yang melindung genang duka setelah candamu bergilir ganti dari satu bintang ke satu bintang, tiada kau hargai ia menanti ke dini dalam sepi mencengkam terlalu. Kaulihat langit kosong semalam. Purnama 15 telah mula menjurai rambutnya, mengatup ungu senyumnya. Ia berbahasa pada rengkung jiwa, diam lebih utama seperti sebermula. Usah menagih sapa, kerling pun telah tidak bermakna bagai impi dikebat bertemali ke siang buat bertemu matahari arjuna, tiada lagi ia berasa horizon itu rekat temu selain garis pemisah malam ke siang. Di balik kulit nipis awan, ia melihat kupu-kupu air memberi basah pada kelopak bunga entah taman ataukah meliar hanya, candamu dan canda mereka, telah dikibasnya menjadi arca pegun, biar tiada terbias rasa dan akhirnya tiada menerbitka­n makna apa jua. Terbanglah dalam ilusi semaumu. Telah tiada larang dan halang. Sekeping kartu di meja tulis tercatat, semua peritiwa akan ditelan bumi dan kesudahann­ya, menurut pinta hati kecilmu jua, mungkin bahagiamu adalah alpa bersenda hujan dan membelah seribu hati! NOOR AISYAH MAIDIN Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu 17 April 2017

MEMELUK DUNIA

Sebuah diri dalam rimbun hasratnya tiada henti ngalir ke samudera atau ke gawang hayat namun pedulinya apa pada bilangan lembar yang kian banyak catatan noda tiada jua mendatangk­an benar-salah perkiraan sedang mata hanya menjadi saksi bisu memandang tanpa hasrat bertanya. Nafsi nafsi dengan kusta daripada sarang nasib leluhur yang tidak kenal cucu cicit ataukah demikian pintaan jadual masa tiada berkurang atau berlebih atau memang sentiasa kurang tiada lebih lebih di catatan pahala, pedulimu apa. Sang penenung nasib telah membuat perkiraan laba di hujung telunjuk maya lalu leburlah perih payah sebulan ke sebulan dari mesin gajian berpindah milik segudang pesona dicairkan dari bumbung kaca salutnya gula kembang merah manis menawan mata dirasa mabuk sakar madu berperisa dunia, bukan salah tingkah kerana perkiraan adalah mesin tepat jitu mencongak ke desimal terhampir. Sebongkah kesombonga­n yang diadun daripada kerikil nasib warga marhaen ditampalny­a ke dinding rumah agam laluannya ada laskar siaga melepaskan das kepada jentayu sekalipun merdu suaranya mendendang pagi yang hangat, andai resah ragunya mencanak tiada percaya sekuman budi baik, alangkah! Sudahlah temali dipilin buat mengikat perahu hayat tiada kan putus dek kukuh kejapnya bahawa dia berjanji hanya kemilau pualam dapat menghukum pura menjadi mahar seisi alam bikinannya yang demikian usah berani berkunjung membawa harap tiadakan pernah tertunai. Dipeluknya pinggang khatulisti­wa sambil mengusap antartika bersalju putih dalam hangatnya hari-hari enggan pergi hingga burung nazar berteriak di bucu padat tanah berbatu bata sahara entah bila sampai kembara khayalkah melilaukan matanya bergetar tanpa sebutir hujan menawar haus tiba-tiba raganya bergoncang disentap sekepul awan tipis di ubun-ubun. Memeluk dunia maha indah menjadi tawanan alpa syahadah. NOOR AISYAH MAIDIN Penampang 08 MAC 2017

PULANG

Bisiknya mulus walau halilintar sentiasa menyambar sabar bagai akan kecai ke tanah tandus, gering terbakar cerca prasangka. Tetap dia menanti sebuah jiwa bagai kabus pagi di pergununga­n harap, menyapa lembut pada sebuah kepulangan. Aku namakan ia jiwa yang tenang. NOOR AISYAH MAIDIN Likas 5 Syawal 1438 H

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia