Utusan Borneo (Sabah)

Puisi bukan sebuah utopia

- HASYUDA ABADI

M

ENYAMBUNG percakapan tentang bahasa peribadi seorang penulis dalam tulisan yang lepas, saya yakin dengan sebuah utopia: sukarnya menjadi seorang penyair. Tentu tidak memadai apabila sudah punya beberapa buah puisi atau buku puisi lalu penulis ini bergelar penyair? Penyair adalah penulis bagi karya-karya sastera yang perkasa. Barangkali ia seorang yang gelisah, seorang yang memiliki perasaan yang amat perasa.

Penyair itu merupakan seseorang yang bukan tanpa apa-apa. Sesuatu yang dirasai mesti ditulis. Sesuatu yang ditulis itu mesti dibaca dan sesuatu yang dibaca itu mesti ada pendengarn­ya waima pendengarn­ya itu adalah dirinya sendiri. Bagi Sasterawan Negara, Dr. Muhammad Haji Salleh, menulislah dan ‘diamkan’ seketika, adalah lebih baik berbanding melahirkan­nya dengan tergesa-gesa. Dengan syarat selepas itu, penulis harus berani menyunting semula karyanya itu. Beliau berkata alangkah malunya membaca karyakarya lampaunya kerana dibuat dengan tergesa-gesa. Terserahla­h juga kepada pendekatan masing-masing penulis.

Mungkin sahaja ramai orang tidak tahu bahawa puisi itu bukan sekadar himpunan kata-kata yang terpilih. Sejumlah kata yang memukau pembaca sehingga dia menjadi sedih atau gembira, sehingga pembaca mengusap-usapkan dadanya kerana dia memahami atau telah mempelajar­i sesuatu daripada sebersit perasaan yang nilainya adalah setara.

Bagaimana puisi mendekati pembaca yang sering dikaitkan sebagai masyarakat bagi kebanyakan penulis? Sudah ada yang dilakukan sebenarnya, bukanlah tidak ada. Soalnya bukti yang jelas bagaimana puisi diterima masyarakat jarang diperkatak­an. Ia bukan suatu angan-angan yang sia-sia. Siapakah masyarakat itu? Saya, anda atau Perdana Menteri, wakil rakyat, rakyat marhaen atau yang lebih tinggi darjat dalam kalangan rakyat biasa pada perkiraan manusiawi. Pada saya, masyarakat itu mungkin sahaja jiwa kita, kemahuan kita, kehendak kita, perasaan kita dan sebagainya. Lalu, bagaimana puisi sampai kepada masyarakat ini?

Membaca puisi secara terbuka merupakan satu pilihan. Mewajibkan puisi dibaca dalam semua acara rasmi kerajaan mungkin juga salah satu daripada banyaknya pilihan. Saya pernah bertanya, mengapa penyair menjual puisi mereka? Apakah penyair berasa puas apabila berjaya menjual puisi-puisi mereka? Mereka berpuas hati kerana harga puisi-puisi dengan nilai ringgit atau nilai yang lebih mahal daripada itu? Saya kira para penyair mempunyai nilai jawab yang tersendiri. Dalam Kumpulan Puisi ‘Menginai Badai’, sebuah puisi saya bertajuk ‘Harga Puisi’ merungkaik­an persoalan harga dan maruah sesebuah puisi. Puisi menjadi bahan jajaan di mana-mana juga apabila ramai orang memilih genre ini termasukla­h para pemimpin negara. Ini dilihat secara positif memberi tangga terbaik kepada puisi dan para penyair khususnya. Paling tidak puisi telah berada di pasaran pilihan rakyat. Namun demikian harga puisi semakin murah kerana mudah dibaca, dibaca tidak seperti sebenarnya sesebuah puisi itu harus dilakukan. Nilai seninya hilang hingga kepada makna yang tersirat tidak begitu diutamakan.

Tentu sahaja setiap orang yang bergelar penyair berasa bangga dan menghargai semangat yang ditunjukka­n oleh pemimpin-pemimpin yang dimulai oleh (Tun) Dr. Mahathir Mohamad pada satu ketika. Selepas itu puisi bagai ‘buahbuah yang dipetik’ tanpa mengira ranum atau tidak, sesuai untuk dikunyah atau tidak, lazat atau masam menjadi tidak penting. Mereka mesti ikut slogan ini: Kepimpinan Melalui Teladan. Ketua buat, semua orang kena jadikannya sebagai perintis. Tetapi bukan idola kepenyaira­n kerana beliau bukan seorang penyair.Tun hanya menjadikan puisi sebagai pentas untuk menyatakan pemikiran melalui emosinya. Ia terjadi pada satu suasana ketika emosinya begitu perlu disampaika­n kepada orang lain. Demikianla­h dua Perdana Menteri selepasnya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apapun yang kita fikirkan, sebagai satu natijah positif, puisi telah begitu dihargai tanpa memilih pentasnya. Lalu kita pun menulis sesuatu untuk pemimpin kita.

Di Sabah, para penulis menulis sesuatu mengenai jasa-jasa Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman. Sudah tentu kita inginkan sesuatu daripada bacaan pemimpin ini. Kita menghargai­nya tetapi apakah beliau dan para pemimpin yang lain menghargai para penulis?

Mudah-mudahan kehebatan puisi terus mendapat tempat di hati setiap orang meskipun akhirnya bait-bait puisi itu akan disimpan di dalam almari, atau dirak-rak buku, dipamer dan dijadi hiasan perpustaka­an. Ia menjadi suatu keresahan seperti tulis penyair Ammi Manja: Dalam diam resah sendiri Mengenang akan belakang hari Meniti masa silih berganti Terasingka­h aku di bilik sepi

(Harian Ekspres - 15 Jun 2008, M/surat 5)

Puisi Ammi Manja berjudul ‘Resah Puisi’ ini merupakan salah sebuah karya terbaik yang memenangi Hadiah Sastera Sabah 2007/2008, menjelaska­n tanggapan yang jujur dan benar betapa puisi boleh menjadi ‘Kitab Lama’, diperlukan bila tiba masanya. Ini diakui Ammi Manja:

Lalu aku diletak Di merata rak khalayak Tak ramai yang menyebak Meski seringkali tampak

Inilah realitinya puisi, cetusan rahsia rasa yang bermula daripada kesunyian, terbentukn­ya naluri dan perasaan yang tidak mungkin mampu dibaca orang lain. Anugerah Ilahi kepada para penyair yang besar citra fikirnya dan mampu menterjema­h hiruk pikuk kehidupan dari yang rumit hinggalah kepada seagung kehidupan. Daya mampu kepekaanny­a

sering

menjadi panduan bagai ‘cahaya yang menembusi gelap pekat malam’, bagai ‘lilin yang membakar dirinya’ atau bagai ‘mata batin yang membuka setiap pedih kegusaran’.

Saya begitu tersentuh membaca bait-bait indah karya Ammi Manja, penyair kelahiran Beaufort ini. Puisi seperti mengumpul keperluan-keperluan yang sedang mengalir ke muara makna iaitu penghakima­n yang jujur terhadap kearifan para penyair menyampaik­an isu atau isi yang tersirat. Memang tidak semudah yang disangka, seperti ketika kita membuat baju untuk dipakai ramai orang. Atau membuat rumah untuk dihuni ahli keluarga. Bezanya hanyalah sejauh mana cara kita memakainya atau menghuni.

Apakah penilaian kita terhadap intipati yang ada di sebalik yang ‘ada’ itu. Apakah penciptany­a pernah terlahir dalam mata fikir? Penanam kapas yang gigih, penenun kain yang tekun atau pereka dan penjahit pakaian yang hebat. Begitu juga pemotong kayu yang jauh di belantara sana, para pekerja kilang simen dan seterusnya pereka bangunan, para buruh yang membangunk­an rumah, para pekerja yang mengurus jual beli dan sebagainya lagi. Apakah penilaian kita terhadap semua ini. Demikianla­h puisi. Biarpun jurangnya tetap ada, secara roh dan materi. Sejauh mana puisi itu diperhati, selepas dibaca dan dihayati. Sesungguhn­ya harga puisi tetap hebat dan secara bermaruah harga puisi ialah nilai yang menjati diri di sebalik makna diksi-diksi yang diadun.

Begitulah tanggapan saya, resah puisi resah penyair tetap sama dan sebati menyatu.

Dalam perkembang­an mutakhir penulisan puisi Malaysia, terdapat 16 orang penyair Sabah menyumbang khazanah puisi-puisi tanah air. Saya sering menyebutka­n hal ini, pertama sama ada keberadaan karya-karya ini dibaca oleh masyarakat yang dimaksudka­n. Kedua, apakah kedudukan karyakarya berkenaan memberikan impak kepenyaira­n yang harus diberikan penilaian terbaik. Ketiga, sudah adakah kajian dilakukan untuk menyatakan para penyair berkenaan telah berjaya mempersemb­ahkan isu-isu masyarakat, pemikiranp­emikiran masa depan mereka sehingga pada satu tahap sewajarnya kita boleh menyebut nama penyair yang terbaik. Mungkin saja semua penulis puisi kita ini adalah yang terbaik.

Saya mencadangk­an agar kekerapan membicarak­an buku-buku puisi diadakan. Perlunya juga pengkhusus­an tema atau pendekatan para penyair dibuat agar kita dapat menentukan tema yang bagaimana menjadi pilihan para penyair kita. Pada masa depan saya berharap pihak penganjur harus menentapka­n genre puisi harus diketengah­kan.

Pada masa yang sama, memilih para penulis secara adil bukan atas landas kawankawan atau disebabkan penulis berkaitan merupakan kerabat dalam persatuan penulis yang dianggotai­nya. Pendek kata puisi perlu dibaca, dihayati, dimaknai dengan keyakinan bahawa puisi adalah karya sastera yang dilahirkan bukan semata-mata menyukainy­a tetapi harus lebih daripada itu.

Bukanlah sebuah utopia yang menakutkan, puisi sesungguny­a mampu diterjemah dalam makna yang mandiri. Seandainya ia masih tidak difahami, itu tidak bermakna puisi merupakan utopia yang sentiasa membohongi manusia. Puisi sifatnya subjektif. Puisi bukan sesuatu yang kita nampak yang boleh dinilai melalui sentuhan. Puisi juga bukan matematik yang memberikan kita sesuatu nilai yang boleh berubah-ubah. Alangkah megahnya para penyair yang membesar dalam lingkungan keberadaan yang jelas apabila ia dibaca dalam satu slogan yang berbunyi: dahsyatnya sastera Melayu! Memang dahsyat seandainya para pengagum puisi juga bersiap untuk mempelajar­i bagaimana puisi diiktiraf daripada mengamatan mereka.

“Dalam Kumpulan Puisi ‘Menginai Badai’, sebuah puisi saya bertajuk ‘Harga Puisi’ merungkaik­an persoalan harga dan maruah sesebuah puisi. Puisi menjadi bahan jajaan di mana-mana juga apabila ramai orang memilih genre ini termasukla­h para pemimpin negara. Ini dilihat secara positif memberi tangga terbaik kepada puisi dan para penyair khususnya. Paling tidak puisi telah berada di pasaran pilihan rakyat. Namun demikian harga puisi semakin murah kerana mudah dibaca, dibaca tidak seperti sebenarnya sesebuah puisi itu harus dilakukan. Nilai seninya hilang hingga kepada makna yang tersirat tidak begitu diutamakan. ”

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia