Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia hampir pasti pertahan emas

Dalam acara regu sepak takraw Sukan SEA selepas pencabar utama menarik diri

-

KUALA LUMPUR: Malaysia hampir pasti mempertaha­nkan pingat emas acara regu sepak takraw yang dimenangi dua tahun lepas di Singapura apabila tiga pencabar utama – Thailand, Myanmar dan Indonesia tidak menyertai acara itu.

Pada majlis undian acara sukan sempena Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan berlangsun­g pada 19 hingga 30 Ogos ini, hanya Filipina yang dilihat bakal memberi saingan kepada skuad negara.

Negara-negara lain yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan ialah Brunei, Kemboja dan Laos.

Penolong Setiausaha Persatuan Sepaktakra­w Malaysia (PSM) Yusoff Ali berkata berdasarka­n senarai akhir negara yang bertanding, beliau yakin Malaysia mampu mengekalka­n pingat emas yang dimenangi pada edisi 2015.

“Saya percaya dan yakin Malaysia boleh kekalkan emas acara regu,” katanya.

Menurut beliau, Thailand yang juga musuh tradisi, berhasrat untuk menyertai acara regu itu, namun negara Gajah Putih memutuskan untuk menyertai acara quadrant.

Pada temasya Sukan SEA, setiap negara yang bertanding dibenarkan mengambil bahagian dalam tiga daripada lima acara yang dipertandi­ngan dalam sukan sepak takraw manakala Malaysia selaku tuan rumah, dibenarkan menyertai kelima-lima acara.

Dalam pada itu, perhitunga­n sebenar Malaysia adalah dalam acara berpasukan apabila Thailand dijangka akan mengekalka­n pingat emas yang dimenangi pada edisi lepas.

Selain Thailand, Malaysia bakal berdepan saingan dua lagi pasukan iaitu Indonesia dan Brunei.

Yusoff berkata walau apapun sasaran yang akan diletakkan oleh pengurusan PSM, skuad negara akan berjuang bersungguh-sungguh, ditambah beraksi di hadapan penyokong sendiri akan menaikkan lagi semangat semua pemain.

“Sasaran tu saya biarkan pihak tertinggi pengurusan yang umumkan tapi yang pasti akan ada sinar pingat emas yang akan bersinar di Sukan SEA Kuala Lumpur nanti,” katanya. - Bernama

“Saya percaya dan yakin Malaysia boleh kekalkan emas acara regu. ” YUSOFF ALI Penolong Setiausaha PSM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia