Utusan Borneo (Sabah)

Paris dilanda ribut, pelancong dirompak

-

PARIS: Lelaki bertopeng bersenjata­kan gas pemedih mata merompak kira-kira 20 pelancong yang sedang menunggu bas pelancong di luar hotel lapangan terbang di Paris pada hujung minggu lalu, menurut sumber siasatan semalam.

Perompak berpakaian serba hitam itu tiba dengan sekurang-kurangnya dua kenderaan di hotel berhampira­n Lapangan Terbang Charles de Gaulle sebelum melarikan bagasi dan barangan peribadi pelancong tempatan, Amerika Syarikat (AS) dan Maghribi dalam kejadian Sabtu lalu, menurut sumber.

Hotel-hotel di sekitar lapangan terbang dan lebuh raya ke Charles de Gaulle dan Le Bourget, lapangan terbang jet peribadi paling sibuk di Eropah, kerap menjadi sasaran perompak.

Pada Ogos lalu, kira-kira enam penyerang menyembur gas pemedih mata ke arah sekumpulan pelancong China di luar sebuah hotel dekat lapangan terbang itu sebelum melarikan bagasi mereka.

Dua warga Qatar yang meninggalk­an Le Bourget dengan sebuah Bentley untuk ke Paris telah diserang pada November tahun lepas sebelum perompak melariakn barangan kemas dan pakaian bernilai lima juta euro.

Pada Februari pula, sepasang suami isteri dari Rusia kerugian 100,000 euro setelah barang kemas dan barangan mewah mereka dilarikan perompak di lebuh raya yang sama.

Sementara itu, ribut petir mirip monsun membawa hujan paras rekod ke Paris, menyaksika­n jalan raya banjir, mencetuska­n kesesakan trafik dan memaksa penutupan sementara stesen kereta api bawah tanah, menurut pegawai tempatan semalam.

Perkhidmat­an kaji cuaca kebangsaan Meteo France berkata, 6.8 sentimeter (sm) hujan turun dalam ribut ganas selama dua jam lewat kelmarin yang menamatkan penuh dramatik minggu panas lagi lembap.

Sejumlah 4.9sm hujan turun dalam tempoh satu jam, menyamai penurunan biasa tiga minggu dalam bulan Julai, menurut agensi.

Rekod penurunan hujan dalam tempoh satu jam sebelum ini di Paris dicatatkan pada 2 Julai, 1995 di mana 4.7sm direkodkan.

Hujan kelmarin memaksa penutupan kira-kira 15 stesen ekoran banjir kilat, tiga daripadany­a masih ditutup awal semalam, namun aliran trafik kembali normal, menurut pihak berkuasa pengangkut­an Paris RATP.

Menurut Meteo France, lebih 10sm hujan dicatatkan dalam tempoh beberapa jam di wilayah tengah-barat Poitou, Berry dan wilayah utara Limousin.

Ia meletakkan 12 bahagian termasuk dalam kawasan Greater Paris, dalam perintah berjaga-jaga jingga 24 jam ekoran kejadian hujan lebat dan ribut petir.

Pada Jun tahun lepas, hujan lebat tiga hari menyebabka­n Sungai Seine naik ke paras tertinggi dalam sejarah tiga dekad.

Banyak anak sungainya melimpahi tebing, mencetuska­n banjir dan memaksa pemindahan lebih 20,000 penduduk di utara Perancis.

Para saintis dari Makmal Sains Iklim dan Alam Sekitar Perancis memberi amaran pada ketika itu bahawa pemanasan global menjadi punca peningkata­n kelebatan dan kekerapan ribut sedemikian. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia