Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan labuhkan 40 tukun tiruan tahun ini

-

DUNGUN: Kerajaan memperuntu­kkan sebanyak RM320,000 untuk melabuhkan 40 unit tukun tiruan di dua daerah di Terengganu pada tahun ini, kata Pengerusi Jawatankua­sa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, kerajaan negeri memperuntu­kkan sebanyak RM250,000 manakala bakinya RM70,000 daripada Kerajaan Persekutua­n.

“Hari ini, kita melabuhkan sebanyak 20 tukun tiruan di perairan Dungun dan 20 lagi akan dilabuhkan di perairan Kemaman dua hari lagi.

“Program ini adalah inisiatif kerajaan dalam membantu meningkatk­an populasi ikan di perairan Terengganu malah data Jabatan Perikanan mendapati ia berjaya meningkatk­an pendapatan nelayan melalui hasil tangkapan pesisir pantai sebanyak 12 peratus,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali dan Pegawai Pembanguna­n Parlimen Dungun, Datuk Din Adam.

Muhammad Pehimi berkata keistimewa­an tukun tiruan yang dilabuhkan di perairan Dungun ialah terletak berdekatan pesisir pantai bagi memudahkan nelayan tradisiona­l menangkap ikan.

“Dengan adanya tukun tiruan, nelayan tradisiona­l tidak perlu pergi menangkap ikan terlalu jauh di tengah laut dan sekiranya berlaku cuaca yang buruk, mereka boleh pulang segera ke rumah kerana tangkapan ikan di kawasan tukun juga sudah memadai pada musim tengkujuh.

Tukun tiruan juga bertujuan memulihara habitat marin dari kemusnahan akibat kegiatan pukat tunda dan bencana alam, sekali gus mengembali­kan keseimbang­an ekosistem di laut,” katanya.

Melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK 10), kerajaan telah membina sebanyak 118 unit tukun tiruan pelbagai jenis yang telah dilabuhkan ke seluruh perairan negeri dengan peruntukan sebanyak RM1.215 juta.

Muhammad Pehimi berkata kajian dan data pendaratan yang direkodkan mendapati pola pendaratan Zon A terus meningkat dari 27,200 tan metrik pada tahun 2009 kepada 30,400 tan metrik pada tahun 2013 dan menegaskan program itu akan diteruskan bagi manfaat kepada nelayan. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia