Sesi dialog TN50 terus dapat sambutan
KOTA KINABALU: Sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) terus mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan penjawat awam, khususnya golongan belia.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa berkata sistem yang diilhamkan oleh Perdana Menteri itu menjadi pilihan golongan belia untuk menyuarakan aspirasi masing-masing bagi pembangunan Malaysia menjelang tahun 2050.
“Ini adalah sesi kedua diadakan dan kita akan pergi ke Sarawak selepas ini. Sesi yang diadakan hari ini sangat menggalakkan di mana kita menerima penyertaan sehingga 1,200 orang dari kalangan penjawat awam di peringkat jabatan persekutuan dan negeri.
“Sesi kali ini juga melibatkan ketua-ketua jabatan. Aspirasi yang dibangkitkan adalah berkaitan kelestarian, keselamatan, kualiti hidup dan infrastruktur asas,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog TN50, petang Selasa.
Beliau berkata aspirasi yang dibangkitkan dalam sesi dialog pertama di Putrajaya mempunyai persamaan dengan sesi kali ini. Bagaimanapun, perbezaannya adalah belia Sabah inginkan keselamatan yang lebih baik di sini selain mempunyai persekitaran yang mampan.
Katanya, TN50 bukan sahaja platform kepada golongan muda perkhidmatan awam untuk menyuarakan aspirasi mereka tetapi juga kepada badan bukan kerajaan lain untuk mengutarakan hasrat bagi melihat perkara yang diinginkan bagi Malaysia menjelang 2050.
“Saya juga menggalakkan ketua jabatan masing-masing di sini untuk mengadakan sesi dialog sendiri di antara kakitangan yang ada.
“Aspirasi yang dikumpul itu boleh diserahkan kepada kerajaan,” katanya.
Hadir sama di majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman.