Ugutan tonto makin kritikal
JKDM peroleh 80 kenderaan baharu lebih lasak, dilengkapi teknologi terkini
PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meningkatkan kesiapsagaan untuk berhadapan ancaman dan ugutan tonto yang semakin kritikal, menerusi perolehan 80 kenderaan penguatkuasaan yang tahan lasak dan dilengkapi teknologi terkini.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Subromaniam Tholasy berkata kesemua 80 pacuan empat roda jenis Isuzu DMax 3.0 itu dilengkapi ‘bull
bar’ dan kamera video, diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM di seluruh negara.
“Sekiranya berlaku insiden ancaman tonto, kita akan mengetahui kenderaan mereka menghampiri kenderaan penguatkuasaan JKDM. Kamera akan merakam dan dengan adanya bukti, mereka tidak akan terlepas,” katanya kepada wartawan selepas menyerahkan replika kunci kenderaan kepada wakil JKDM negeri di sini, pada Selasa.
Beliau berkata statistik menunjukkan pada 2013 hingga 2016, pengawai JKDM menerima 150 kes ugutan dan ancaman ketika menjalankan tugas rasmi.
“Saya memberi amaran kepada sindiket dan juga tonto ini, hentikan (ancaman). Kita tidak akan memberi muka kepada mereka yang cuba menghalang pegawai kita menjalankan amanah,” katanya.
Tahun lepas, seorang pegawai kastam wanita meninggal dunia akibat dilanggar sebuah pacuan empat roda yang dipercayai dinaiki tonto di Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan.
Dalam kejadian itu, kenderaan yang dinaiki Allahyarham Anisah Ali, 54, bersama dua rakan setugas dilaporkan dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tonto ketika mengekori sebuah kenderaan yang disyaki membawa rokok seludup.
Subromaniam berkata, JKDM sentiasa merangka strategi mengukuhkan benteng khususnya di pintu masuk negara kerana ia bukan sahaja berkaitan hasil negara tetapi juga melibatkan isu keselamatan negara seperti penyeludupan senjata api dan dadah.
“Saya menyeru agar warga kastam tidak takut dan gentar semasa menjalankan tugas” katanya.
Mengenai penangguhan cukai pelancongan hingga 1 Ogos ini, Subromaniam berkata, akan ada pengumuman mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat.- Bernama
“Sekiranya berlaku insiden ancaman tonto, kita akan mengetahui kenderaan mereka menghampiri kenderaan penguatkuasaan JKDM. Kamera akan merakam dan dengan adanya bukti, mereka tidak akan terlepas,” DATUK SUBROMANIAM THOLASY Ketua Pengarah Kastam