India haramkan jual beli lembu
NEW DELHI: Mahkamah Agung India semalam mempertahan larangan seluruh negara yang ditetapkan kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi ke atas jualan lembu untuk sembelihan yang mencetuskan kecaman dari banyak negeri.
Mahkamah meluluskan keputusan mahkamah rendah yang menetapkan pelaksanaan larangan itu sejak Mei, di mana jual beli lembu, haiwan yang dianggap suci dalam Hindu, untuk sembelihan tidak dibenarkan.
Perintah mendadak itu mencetuskan protes terhadap apa yang dilihat ramai sebagai pendirian melampau parti Hindu haluan kanan Parti Bharatiya Janata (BJP), dan banyak negeri di mana penyembelihan lembu adalah sah berikrar menentang dikri itu.
Negeri selatan Tamil Nadu melancarkan cabaran pertama dengan mendakwa larangan itu melanggar hak mereka untuk makan apa sahaja yang diingini.
Pengharaman persekutuan itu bukan sahaja menjejaskan dagangan lembu, malah lembu jantan, seladang, kerbau, anak lembu dan unta.
Sementara itu di Srinagar, para pemimpin India dan pemisah Kashmir semalam sama-sama mengecam serangan ke atas sebuah bas yang menyaksikan tujuh penziarah Hindu maut.
Enam wanita dan seorang lelaki mati apabila sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan lewat kelmarin ke arah bas membawa penganut Hindu dalam perjalanan ke sebuah gunung di Himalaya yang dianggap kediaman dewa Shiva.
Puluhan penganut HIndu dari seluruh India pergi ke Kashmir setiap tahun untuk mengunjungi pembentukan ais berbentuk kemaluan lelaki dalam gua Amarnath yang dipuja sebagai simbol Shiva, dewa kemusnahan Hindu.
Gua itu berada pada ketinggian 3,900 meter dan hanya boleh dicapai dengan berjalan kaki atau berkuda, dilihat sebagai simbol perpaduan agama di wilayah bergolak itu.
Pembentukan ais itu dipercayai ditemui pada 1850 oleh gembala Muslim yang menjadi penjaganya bersama dua sami Hindu.