LAGI KEBAKARAN
Tujuh rumah terjejas dalam kejadian terbaharu di Tawau
TAWAU: Tujuh rumah terjejas termasuk empat yang musnah sepenuhnya dalam insiden kebakaran terbaharu di Kg Titingan, Batu 2.5 Jalan Pantai Apas, di sini, pada jam 7 petang Isnin.
Insiden itu melibatkan 34 mangsa daripada enam keluarga, iaitu 20 lelaki dan 14 wanita.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Faisal Ahmad berkata terdapat sembilan rumah di kawasan itu, dengan dua kediaman berjaya diselamatkan.
“Tiga lagi rumah hanya mengalami kesan kira-kira 5 peratus akibat insiden yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata operasi memadam kebakaran terkawal sepenuhnya pada jam 7.50 malam melibatkan kekuatan 25 pegawai dan anggota serta tiga jentera dan empat utiliti.
Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan sumber air dari air terbuka berhampiran iaitu Sungai Tawau, dan tidak ada mangsa dilaporkan cedera.
Pada Selasa, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat Apas Sarman Amat Simito antara yang hadir melawat tempat kejadian.
Dalampertemuanitu,Mary bersetuju untuk membantu penyediaan pili bomba di kawasan terbabit, sebagai maklum-balas daripada rayuan mangsa kebakaran yang terlibat.
Untuk rekod, kejadian itu berlaku selang 10 hari yang menyaksikan lebih 200 rumah musnah dalam kebakaran besar di Kg Hidayat Batu 4 Jalan Apas Tawau.